SELAIN dinikmati bersama nasi, rendang paru Parit Jawa juga enak dimakan bersama ketupat dan lemang. - FOTO Hazreen Mohammad
SELAIN dinikmati bersama nasi, rendang paru Parit Jawa juga enak dimakan bersama ketupat dan lemang. - FOTO Hazreen Mohammad
Fairul Asmaini Mohd Pilus


BIARPUN cara memasaknya mengambil masa lama dan agak renyah namun menu rendang sememangnya digemari ramai.

Ia bukan saja antara menu popular untuk disajikan pada pagi lebaran, malah sesuai dijadikan juadah untuk majlis keraian atau rumah terbuka.

Menariknya menu rendang juga boleh dipelbagaikan kerana ada yang menggemari rendang daging, ayam, ikan selain organ dalaman seperti paru, hati dan juga limpa.

Istimewa untuk pembaca Harian Metro, Sous Chef Hotel Dorsett Kuala Lumpur, Chef Mohd Faizal Abd Wahid, berkongsi resipi rendang paru Parit Jawa enak untuk dicuba sebagai juadah lebaran atau sajian rumah terbuka.

Menurut Chef Mohd Faizal, paru perlu direbus sekurang-kurangnya satu jam bagi memastikan ia lembut dan tidak liat.

Paru juga perlu dihiris dalam saiz sederhana dan tidak terlalu tebal.

Selain itu, bagi memastikan rendang tahan lebih lama, pastikan ia dimasak dengan api yang sesuai dan bahannya ditumis lama.

"Rendang paru Parit Jawa sesuai dinikmati bersama seisi keluarga.

"Jika tidak menggemari paru, resipi berkenaan juga boleh digantikan dengan daging, limpa, hati dan sebagainya. Selamat mencuba," katanya.

Bahan-bahan:

  • 1 kilogram (kg) paru - direbus selama satu jam dan dihiris tebal sebelum di goreng.

  • 1 cawan cili kering - dikisar

  • 1 sudu besar serbuk ketumbar

  • 1 sudu besar serbuk jintan putih

  • 1 sudu besar serbuk jintan manis

  • 2 cawan santan pekat

  • 2 sudu besar kerisik

  • 2 sudu besar gula Melaka.

  • 2 helai daun kunyit (dihiris halus)

  • 3 helai daun limau purut

  • Garam secukup rasa

  • Minyak untuk menumis

    Bahan kisar:

  • 3-4 inci lengkuas

  • 3 batang serai

  • 3 inci halia

  • 8 ulas bawang merah saiz sederhana

  • 4 ulas bawang putih.

    Cara masak:

    1) Campur semua serbuk ketumbar, jintan manis, jintan putih dalam satu mangkuk dan masukkan sedikit air. Sebatikan bahan sehingga menjadi pes.

    2) Panaskan minyak, tumis bahan kisar sehingga naik bau dan masukkan pes yang disediakan tadi.

    3) Masak seketika sebelum masukkan cili yang sudah dikisar. Masak sehingga naik minyak.

    4, 5,6) Kemudian masukkan paru, santan, kerisik dan gula Melaka, kacau hingga sekata. Jika terlalu kering, masukkan sedikit air.

    7) Biarkan rendah masak seketika dan apabila hampir kering, masukkan daun kunyit dan daun limau purut.

    8) Masak sehingga rendang betul-betul kering dan kemudian tutup api. Ia sudah sedia untuk dihidangkan.

  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 April 2023 @ 6:43 AM