IBU bapa perlu bijak kawal situasi apabila anak-anak bertindak di luar kawalan. FOTO: Sumber Google
IBU bapa perlu bijak kawal situasi apabila anak-anak bertindak di luar kawalan. FOTO: Sumber Google
Hafiz Ithnin

"IBU ni, asyik lebihkan adik-adik sahaja. Semua salah saya," rajuk suara anak-anak yang biasa kita dengar.

Kadangkala orang dewasa juga merasakan perkara sama apabila ibu atau bapa melebihkan kasih sayang mereka kepada adik-beradik lain.

Apatah lagi, kanak-kanak yang mempunyai jiwa amat sensitif.

Apabila berkelahi, si sulung, mereka yang lebih tua atau si bongsu dimarahi dan terasa hati kanak-kanak itu apabila berada dalam situasi mereka tidak 'dimenangkan.'

Sebagai ibu bapa yang beranak ramai pastinya timbul rasa berbelah bahagi bagaimana agaknya untuk menjaga hati semua anak-anak supaya kelihatan lebih adil dan tidak memihak kepada sesiapa apabila berlaku sesuatu 'krisis' dalam kalangan adik-beradik.

Budak mana yang tidak nakal ketika kecil? Sukar agaknya untuk mencari si kecil yang tidak pernah berkelahi antara adik-beradik mereka.

Ibu bapa perlu bijak kawal ‘krisis’ anak-anak supaya tidak kelihatan berat sebelah. FOTO: Sumber Google
Ibu bapa perlu bijak kawal ‘krisis’ anak-anak supaya tidak kelihatan berat sebelah. FOTO: Sumber Google

Kita yang sudah dewasa ini pun kadangkala terasa hati dengan adik-beradik, inikan pula kanak-kanak yang inginkan lebih perhatian daripada orang tersayang di sekeliling mereka.

Pakar Psikologi, Datin Profesor Dr Mariani Md Nor berkata, krisis antara manusia membabitkan hubungan persaudaraan terutama adik-beradik adalah perkara lumrah.

Sebagai ibu bapa, menjadi tanggungjawab supaya bijak mengawal keadaan supaya tidak kelihatan berat sebelah dan paling penting pendekatan menguruskan krisis itu mudah difahami kanak-kanak secara rasional, walaupun beranak 10 orang.

Beliau berkata, apabila berlaku ketegangan hubungan antara anak-anak yang masih kecil, ibu bapa sewajarnya tidak meletakkan kemarahan kepada si kecil walaupun pada pandangan kasarnya anak itu yang melakukan kesalahan.

"Kita perlu tahu pada usia kanak-kanak mereka tidak lagi matang dalam berfikir, itu perkara yang paling utama untuk dinilai sebelum menjatuhkan sebarang hukuman kepada 'si pesalah.'

"Jika mereka matang tidaklah kerana isu yang remeh seperti berebut permainan boleh menjadi punca anak-anak itu berkelahi dan akhirnya salah satu daripada mereka bertindak agresif seperti ada aksi pukul-memukul sehingga menangis?" katanya.

PERLU mengawal kemarahan ketika si kecil berkelahi antara adik-beradik. FOTO: Sumber Google
PERLU mengawal kemarahan ketika si kecil berkelahi antara adik-beradik. FOTO: Sumber Google

Pakar itu berkata, jadi perkara utama yang perlu dilakukan adalah memupuk nilai kasih sayang antara anak-anak itu menjadi perkara paling utama iaitu mendidik mereka lebih bertanggungjawab melalui tindakan ibu bapa sendiri kerana anak-anak akan menerapkan tingkah laku orang dewasa dalam diri mereka.

"Sebolehnya pada peringkat pertama apabila berlaku ketegangan dalam hubungan anak-anak kecil yang ramai terutama ketika mereka berkelahi, ibu bapa

jangan dalam keadaan marah walaupun hakikatnya sukar, tetapi ia penting bagi menunjukkan kita sebagai orang dewasa yang cukup tenang menguruskan situasi tegang antara anak-anak.

"Walaupun dalam keadaan tenang, sikap serius dan tegas itu perlu ada kerana kanak-kanak melihat kita sebagai hakim yang mengadili keadaan apabila mereka bertengkar atau berkelahi antara satu sama lain," katanya.

Pakar itu menjelaskan, ibu bapa juga perlu bijak menilai perwatakan setiap anak-anak.

Perwatakan setiap manusia itu berbeza melangkaui jantina, kedudukan anak sama ada si sulung, tengah atau bongsu dan usia.

"Jika berlaku sesuatu krisis dalam hubungan anak-anak yang masih kecil kita jangan merasakan si abang atau kakak perlu bijak mengawal keadaan itu kerana merasakan kedudukannya sebagai individu yang lebih tua.

SIKAP tidak pilih kasih dan adil perlu ada dalam diri ibu bapa yang mempunyai anak ramai. FOTO: Sumber Google
SIKAP tidak pilih kasih dan adil perlu ada dalam diri ibu bapa yang mempunyai anak ramai. FOTO: Sumber Google

"Seperti dikatakan, setiap individu mempunyai sikap dan perwatakan berbeza, jadi kita perlu bijak menilai perbezaan watak dan sikap setiap anak. Kadangkala anak-anak yang lebih tua mempunyai watak lebih manja berbanding anak lebih muda kelihatan lebih berdikari atau sebaliknya," katanya.

Katanya, jika ada anak yang perlu diberi perhatian lebih contohnya dalam adik-beradik atau mereka yang mengalami masalah kesihatan perlu dijelaskan keadaan itu kepada anak-anak lain.

"Apabila ada anak yang perlu diberi perhatian lebih kita maklumkan rasional semua ahli keluarga bahawa menjadi tanggungjawab untuk memberi perhatian lebih kepada si anak yang mempunyai masalah kesihatan itu sebagai contoh.

"Jadi mereka tidak merasakan bahawa si ibu atau bapa sengaja melebihkan adik atau abang mereka. Dalam masa sama kita jangan mengetepikan hak anak-anak lain untuk mendapat kasih sayang," katanya.

BERCAKAP dan menerangkan situasi kepada anak-anak dengan jelas penting bagi mereka memahami tindakan dilakukan ibu bapa. FOTO: Sumber Google
BERCAKAP dan menerangkan situasi kepada anak-anak dengan jelas penting bagi mereka memahami tindakan dilakukan ibu bapa. FOTO: Sumber Google

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Ogos 2020 @ 4:22 PM