ANAK-ANAK belajar mengenai hubungan bermula dari rumah.
ANAK-ANAK belajar mengenai hubungan bermula dari rumah.
Nurul Husna Mahmud

"Anak kedua dengan anak nombor empat sehingga sekarang masih tidak bertegur sapa. Sejak dari kecil lagi kedua-duanya sering bertekak. Dulu gaduh mulut sekarang sudah naik tangan," adu seorang teman mempunyai lima anak dan tiga daripadanya sudah dewasa.

Ujar teman itu kalau masa kecil kudrat anak kecil tidak begitu kuat, tetapi kini meningkat dewasa masalah itu semakin serius dan kadangkala menyebabkan salah seorang memilih untuk bermalam di luar.

Sebagai ibu, teman itu sering menyalahkan dirinya yang sudah terlewat untuk menyelesaikan masalah itu. Katanya tidak menyangka pergaduhan anak kecil boleh menjadi serius apabila meningkat dewasa.

Apatah lagi salah seorangnya sudah menetap di asrama dan rakan dilihat lebih rapat seperti saudara sedarah berbanding adik kandung sendiri. Lebih membimbangkan apabila sehingga hari ini masih buntu mencari penyelesaian dalam mengatasi masalah persengketaan adik- beradik.

Teman itu mengakui sering memenangkan anak nombor empat selain memuji kelebihan anaknya itu lebih rajin dan patuh berbanding anak kedua lebih banyak menghabiskan masa dengan rakan selepas sekolah menjadikan sengketa beradik itu lebih rumit.

Satu penemuan dalam kajian dilakukan Cornell University Itacha New York Amerika Syarikat terhadap 275 ibu yang berusia antara 60 hingga 70 tahun membabitkan 671 anak berkenaan sejauh mana rapatnya hubungan mereka.

LAYANAN ibu bapa tidak adil membuatkan emosi anak terluka. - FOTO Google
LAYANAN ibu bapa tidak adil membuatkan emosi anak terluka. - FOTO Google

Menariknya dalam hasil selidik mendapati 70 peratus ibu boleh rasakan mereka sangat rapat dengan anak masing-masing. Namun maklum balas anak pula hanya 15 peratus sahaja berasa mereka dilayan adil. Itu sebenarnya memberi kesan terhadap hubungan dengan saudara kandung terutama apabila mereka bersama ibu bapa.

Melihat kepada aspek itu Pegawai Psikologi Kaunseling, Kementerian Kesihatan Perlis, Maznah Ibrahim turut berkongsi pendapat mengenai konflik adik-beradik yang mana boleh melarat sehingga dewasa dan akhirnya memberi kesan kepada cara mereka melayan ibu bapa.

"Saya sering melihat reaksi orang ramai termasuklah ketika berada di hospital. Dalam kebanyakan kes dirujuk seperti ibu bapa tua terabai dan ditinggalkan di hospital tanpa penjagaan sebenarnya bukanlah masalah sehari dua.

"Ada yang pernah saya kendali membabitkan masalah ketika zaman mereka kecil. Satu kes diambil contohnya membabitkan pelanggan berumur 30 tahun, sikap dingin terhadap ibu dan hanya meletakkan sepenuh tanggungjawab kepada pihak hospital membuatkan mereka ini dipanggil.

"Rupanya rasa tidak puas hati itu sejak kecil yang mana dia menyimpan luka dalam dan ia berlaku bukan ketika remaja sebaliknya peristiwa ketika berusia lima tahun. Jadi pada saya ada ketikanya pertelingkahan membabitkan saudara kandung dan dikendalikan dengan kurang baik oleh ibu bapa memberi kesan sehingga dewasa.

"Untuk ubah daripada pemerhatian seorang anak kecil melihat layanan tidak adil disebabkan adik-beradik lalu menjadi kepercayaan sehingga terbawa-bawa ke usia dewasa boleh mengganggu emosi yang sukar diubati," katanya.

Menerangkan sejak usia berapa ibu bapa perlu beri perhatian kepada persengketaan anak mereka, katanya itu bergantung kepada tahap perlakuan anak.

KEKERASAN membabitkan pergaduhan perlu dicegah. - FOTO Google
KEKERASAN membabitkan pergaduhan perlu dicegah. - FOTO Google

"Anak sebenarnya mula ada konflik atau bergaduh boleh memberi kesan kepada emosi dan perlakuan ketika usia dua hingga tujuh tahun kerana ia peringkat egosentrik. Cara berfikir adalah mengikut cara tersendiri dan perlu ada panduan supaya mereka jelas dengan kesan terhadap orang lain.

"Ibu bapa pula melihat usia lebih dewasa seperti konflik tujuh tahun dengan usia lebih kecil, seharusnya kesalahan diletakkan pada bahu anak dewasa semata-mata juga antara kesilapan dan pastinya ia memberi luka pada emosi anak-anak.

"Lebih teruk apabila ibu bapa memarahi abang atau kakak di depan adik sedangkan sebaiknya diasingkan dan diberi teguran secara berasingan atau bersendirian supaya mereka tahu kesilapan dilakukan dan rasa tidak dimalukan," katanya.

Kesan itu lebih sukar jika anak mempunyai sikap pasif dan jarang menzahirkan perasaan dan emosi mereka. Tidak dinafikan itu membuatkan ada kala anak berkenaan berterusan menjadi mangsa buli pula di sekolah kerana pendekatan ibu bapa kurang wajar.

Berdasarkan pengamatan dan pengalaman selaku ibu kepada tiga cahaya mata, kata Maznah terdapat tiga langkah pendekatan terutama dalam mengendalikan anak ketika anak bergaduh.

Langkah berkenaan adalah:

EGOSENTERIK sikap anak berusia 2 tahun lebih ketara. - FOTO Google
EGOSENTERIK sikap anak berusia 2 tahun lebih ketara. - FOTO Google

1. Biarkan dan jadi pemerhati

Biasanya pada peringkat kecil atau masalah tidak serius selalunya Maznah ambil pendekatan lihat dahulu. Tujuannya untuk lihat skil pengurusan konflik yang dimiliki pada tahap umur berkenaan.

Anak-anak ada kapasiti dan suai diri disebabkan rumah adalah sosial pertama. Mereka perlu pengalaman itu untuk bantu 'survival' di luar termasuk di sekolah atau di taman permainan ketika bersama rakan-rakan.

2. Masuk campur

Ketika memerhati dan mendengar adanya perlakuan atau verbal anak sudah melampaui batas antaranya ada kemungkinan berlaku kecederaan, ibu bapa perlu masuk campur.

Ibu bapa perlu peka dengan 'bunga-bunga' pergaduhan yang akan memberi kesan lebih serius seperti percubaan memukul, mencubit atau perkataan tidak wajar diungkapkan kanak-kanak kena masuk campur.

3. Mendidik

Peringkat ini adalah untuk bantu anak memahami daripada pandangan mata ibu bapa.

Ada dua peringkat dalam tahap ini iaitu asingkan anak lebih tua untuk terangkan mengapa mereka ditegur ibu bapa dan sikap adik mereka yang tidak menyenangkan.

Ceritakan kelebihan kedua-duanya secara serentak supaya mereka mempunyai kualiti positif selain dilayan adil dan penuh hormat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Oktober 2020 @ 7:00 AM