WANITA dan barangan kemas tidak dapat dipisahkan. - FOTO Aziah Azmee
WANITA dan barangan kemas tidak dapat dipisahkan. - FOTO Aziah Azmee
Fairul Asmaini Mohd Pilus


Barangan kemas sebagai aksesori pelengkap gaya sesuai digayakan semua wanita sama ada yang berhijab ataupun sebaliknya.

Penata gaya terkenal, Min Luna berkata, berbanding barangan kemas perhiasan lain, cincin adalah aksesori yang menjadi pilihan utama wanita berhijab.

Untuk wanita yang tidak berhijab pula, anting-anting atau subang adalah perhiasan barangan kemas yang menjadi kegemaran.

"Bukan sekadar teman setia untuk pelbagai acara, tetapi perhiasan emas juga boleh menaikkan lagi seri penampilan wanita.

"Tampil dengan perhiasan barangan kemas yang sesuai juga dapat meningkatkan lagi daya keyakinan seseorang wanita," katanya pada sesi penggayaan anjuran Habib sempena Pameran Barangan Kemas di ruang legar pusat beli-belah Pavilion Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Menurut Min Luna lagi, untuk tampil dengan imej menawan dan menarik, wanita sebenarnya tidak perlu tampil dengan perhiasan barangan kemas yang bersaiz besar.

Sebaliknya, pilihan yang minimalis juga sesuai asalkan pandai suai padan dengan pakaian dan gaya yang ingin ditampilkan.

"Bagi yang berhijab, rantai leher emas labuh sesuai digayakan secara bertingkat dipadankan dengan rantai leher lain yang lebih ringkas rekaannya.

"Jika memilih untuk mengutamakan penampilan gaya di bahagian tangan, sebentuk atau dua cincin berlian yang dipadankan dengan rantai tangan emas juga boleh dijadikan pilihan.

"Namun antara jari dan tangan, tidak boleh kedua-duanya sarat dengan hiasan barangan kemas kerana ia boleh menyebabkan penampilan kelihatan janggal," katanya.

REKAAN barangan kemas minimalis, namun memiliki gaya tersendiri. - FOTO Aziah Azmee
REKAAN barangan kemas minimalis, namun memiliki gaya tersendiri. - FOTO Aziah Azmee

Sementara itu, pameran barangan kemas terbesar Habib itu berlangsung sehingga 2 Oktober ini.

Pameran itu bukan sahaja menawarkan pelbagai pilihan barangan kemas, berlian dan koleksi permata, malah turut menyediakan pelbagai aktiviti menarik untuk orang ramai.

Turut boleh didapati di pameran berkenaan adalah koleksi eksklusif Oro Italia 916 yang terkenal dengan keunikan, kekemasan dan ketelitian rekaan.

Untuk bakal pasangan raja sehari, pameran itu juga menyediakan pelbagai pilihan cincin perkahwinan sama ada emas 916, koleksi berlian bersijil mahupun koleksi berlian potongan terbaik dunia, Hearts On Fire.

Bagi yang gemar menggayakan barangan kemas batu permata, ada pelbagai rekaan menarik boleh dimiliki antaranya safir merah jambu, topaz biru, citrine kuning dan amethyst ungu.

Tidak ketinggalan juga koleksi mutiara yang boleh didapati dalam pelbagai variasi antaranya rona putih, kelabu, emas dan black peacock.

Terdapat juga pilihan barangan kemas untuk kanak-kanak serta cincin lelaki yang diperbuat daripada perak palladium dan titanium.

Selain itu, Habib juga menampilkan koleksi jongkong emas 999 untuk pelaburan yang boleh didapati dari satu gram (g) sehingga satu kilogram.

Manakala bagi pengumpul syiling emas edisi terhad, koleksi syiling wafer emas 999 sebarat 0.2 g dengan pelbagai motif menarik juga boleh didapati di pameran itu.

Pelbagai aktiviti menarik disediakan seperti sesi penggayaan bersama Min Luna, penata gaya fesyen Farah Diana serta jurusolek artis, Ayu Kirana.

MIN Luna (kiri) menunjukkan penggayaan barangan kemas yang sesuai untuk wanita bertudung. - FOTO Aziah Azmee
MIN Luna (kiri) menunjukkan penggayaan barangan kemas yang sesuai untuk wanita bertudung. - FOTO Aziah Azmee

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 September 2022 @ 7:01 AM