ANTARA koleksi jam tangan menarik daripada Korloff.
ANTARA koleksi jam tangan menarik daripada Korloff.
Fairul Asmaini Mohd Pilus


JENAMA barangan kemas dan berlian terkemuka dunia, Korloff Paris sudah pun bertapak sejak 40 tahun di pasaran antarabangsa.

Kualiti dan ketinggian mutu rekaannya tidak dapat dinafikan, ia mempunyai tempat tersendiri dalam hati penggemar barangan kemas.

Di Malaysia, koleksi jenama itu boleh didapati secara eksklusif di Habib menerusi kerjasama yang dijalinkan.

Apa yang menariknya mengenai kerjasama itu, kedua-duanya mempunyai sejarah syarikat yang hampir serupa iaitu perusahaan milikan keluarga yang kini berkembang maju di tanah air masing-masing.

Korloff bukan hanya menawarkan barangan kemas bertatahkan berlian, namun aksesori eksklusif seperti jam tangan, pen 'cufflinks' dan minyak wangi yang diinspirasikan daripada bau-bauan bunga serta nyaman.

Pengerusi Eksekutif Kumpulan Habib, Datuk Sri Meer Habib berkata, kerjasama itu diharap dapat merancakkan lagi industri barangan kemas dan perhiasan yang kini berubah pantas mengikut peredaran masa.

"Melihat kepada cita rasa dan selera rakyat Malaysia terutama pelanggan kami, mereka lebih gemarkan sesuatu barangan kemas yang moden dan relevan sepanjang zaman untuk melengkapkan gaya mereka.

"Semua itu ditawarkan Korloff, malah kini kami bawakan koleksi dari jenama itu ke Malaysia untuk tatapan pelanggan yang kami hargai," katanya pada majlis previu eksklusif di bilik pameran jenama berkenaan di pusat beli-belah Bangsar Village II, baru-baru ini.

REKAAN barangan kemas eksklusif daripada Korloff.
REKAAN barangan kemas eksklusif daripada Korloff.

Hadir sama pada majlis berkenaan, Ketua Pegawai Eksekutif Korloff Paris, Bassam Azakir.

Dalam pada itu, Bassam pula berkata, sebagai jenama yang sudah 40 tahun bertapak di pasaran antarabangsa, pihaknya gembira dan yakin dengan kerjasama yang dijalinkan.

Katanya, jenama berkenaan mempunyai mempunyai reputasi yang positif dan meyakinkan dalam pasaran di negara ini.

"Kerjasama istimewa ini secara tidak langsung dapat membantu kami untuk mengembangkan lagi jenama ini kepada orang ramai.

"Pilihan yang ditawarkan tidak terhad kepada barangan kemas, malah kepada pencinta jam tangan, aksesori dan minyak wangi," katanya.

Antara koleksi menarik yang boleh dimiliki ialah Let Me Out, diinspirasikan daripada tulisan kaligrafi yang beralun, melambangkan sifat kewanitaan, namun berani.

Barang kemas daripada koleksi itu bertatahkan berlian potongan 'round brilliant' dan dikeluarkan dengan dua rona iaitu emas putih dan ros, sesuai untuk digayakan setiap wanita.

KOLEKSI wangian harum untuk lelaki dan wanita.
KOLEKSI wangian harum untuk lelaki dan wanita.

Koleksi Eclat pula diinspirasikan daripada garisan geometri bentuk segi tiga dan berlian.

Set cincinnya berbentuk segi empat sama yang mempesona dan rekaan itu menggunakan berlian potongan bulat dihias rapi pada emas putih serta berlian potongan bulat dengan berat 0.2 gram di bahagian tengah cincin.

Terdapat juga dua jenis anting-anting yang boleh dimiliki iaitu menggunakan emas putih dan dihias dengan 24 berlian potongan 'brilliant', 0.8 karat serta atau dengan hiasan 192 berlian potongan bulat.

Koleksi Korlove pula menampilkan koleksi barang kemas yang menonjolkan gaya 'edgy' dengan cincin berbentuk 'stud' yang terbaharu.

Ciri-cirinya yang tajam memberi dua jenis tanggapan iaitu romantik dan sensual serta berani dan tegas.

Sebanyak 252 berlian hitam digunakan bagi menghiasi emas, seberat 8.6 gram dan apa yang pasti, rekaan menarik itu dapat menonjolkan aura wanita yang dominan.

Semua koleksi menarik itu boleh didapati di rangkaian Habib di pusat beli-belah Bangsar Village II di ibu negara.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Mei 2022 @ 7:00 AM