Nurul Husna Mahmud

Harga rumah antara cabaran bakal pemilik untuk merealisasikan impian memiliki hartanah itu.

Bagi rumah berlaman sama ada teres dua tingkat atau semi-D untuk sekitar Kuala Lumpur dan Selangor, rata-rata sudah melangkaui RM600,000 dan ke atas.

Sukar pemaju menawarkan harga lebih rendah daripada nilai itu berikutan kenaikan kos bahan binaan selain kekurangan tanah sesuai untuk dibangunkan.

Lain ceritanya bagi Kenting Development Sdn Bhd (KDSB) dengan reputasi pemaju itu berpengalaman dalam sektor pembinaan hartanah kediaman lebih 10 tahun, apabila menjalin kerjasama dengan pemilik tanah dalam usaha menawarkan hartanah dengan mampu milik.

Syarikat itu baru sahaja selesai membangunkan 52 unit rumah teres dua tingkat Taman Semarang Intan fasa satu di Dengkil, Selangor dan dijangka membuat penyerahan kunci kepada pemilik bulan ini.

Menurut Pengarah KDSB Ir Mervyn Ung, untuk Taman Semarang Intan ada beberapa fasa dan semua projek ialah kolaborasi bersama pemilik tanah kawasan sekitar.

"Projek yang dibangunkan KDSB adalah hasil kesepakatan dengan tuan tanah dan untuk Taman Semarang Intan di Dengkil ini kami bangunkan rumah teres dua tingkat berkeluasan binaan sekitar 2,000 kaki persegi.

"Semua unit ini dibina berdasarkan reka bentuk sesuai dengan gaya hidup masyarakat masa kini dengan ruang tamu yang luas selain memiliki perincian premium seperti lantai lengkap dengan 'laminating' kayu selain balkoni.

"Harga kediaman ini juga memiliki status pegangan bebas pada kadar berpatutan yang mana dijual di bawah harga pasaran RM600,000," katanya.

KUALITI rumah dibina setanding kediaman mewah, tetapi harga mampu milik.
KUALITI rumah dibina setanding kediaman mewah, tetapi harga mampu milik.

Tambah Mervyn, projek terbaharu lain adalah hartanah kediaman kondominium di Sungai Ramal, Kajang.

"KDSB adalah di bawah E&J Group of Companies yang sememangnya mempunyai kepakaran membina bangunan tinggi melebihi 20 tahun dalam bidang ini.

"KDSB julung kali membangunkan kondominium sebanyak 187 unit di tanah rezab Melayu dan memiliki status pegangan bebas.

"Kami bukan hanya memfokuskan keuntungan, tetapi turut mahu menyumbang kepada masyarakat dengan merealisasikan hasrat tuan tanah mungkin mahu memajukan tanah milik mereka, tetapi menghadapi kekangan modal," katanya.

Sementara itu, tuan tanah bagi fasa pertama Taman Semarang Intan, Herwan Risman menerima usaha sama syarikat itu kerana rekod dimiliki KDSB cukup baik.

"Sebelum KDSB, saya juga 'dilamar' beberapa syarikat pemaju lain untuk membangunkan tanah warisan.

"Tawaran KDSB antara terbaik selain saya melihat kredibiliti dan reputasi syarikat ini tidak pernah gagal dalam projek dibangunkan mereka.

"Mereka mempunyai sumber kewangan kukuh dan faedah atau keuntungan dijanjikan jauh lebih baik," katanya.

Dia juga gembira apabila KDSB juga menjual unit rumah dengan kadar harga munasabah. Ini membantu orang ramai memiliki rumah impian mereka.

Taman Semarang Intan berada di lokasi strategik dan berdekatan dengan bandar Dengkil, Sepang, Putrajaya, Cyberjaya dan Bangi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 January 2024 @ 7:00 AM