KDSB turut menyediakan perkhidmatan pengubahsuaian kediaman.
KDSB turut menyediakan perkhidmatan pengubahsuaian kediaman.
Muhamaad Razis Ismail


KENTING Development Sdn Bhd (KDSB) mula melakar sejarah berada dalam industri sejak tahun 2014 menjadi antara pemaju yang cukup disegani dalam kalangan pemain industri di negara ini.

Sebagai ahli kumpulan E&J Group of Companies yang sudah bertapak lebih 20 tahun dan dikenali sebagai syarikat besar yang sangat aktif dan agresif dalam infrastruktur, pembinaan dan pembangunan, KDSB turut menerima tempiasnya.

Pengarah KDSB Ir Mervyn Ung berkata, KDSB lahir menerusi individu-individu yang berjiwa besar dan dinamik dengan pengalaman luas dalam industri pembangunan.

"KDSB menggabungkan sekumpulan jurutera dan arkitek bertauliah yang berdedikasi untuk bekerjasama dalam mencetuskan idea baharu bagi memenuhi permintaan pembeli rumah yang sentiasa berubah pada masa kini.

"Biarpun berdepan pelbagai cabaran termasuk kenaikan kos bahan binaan, kami masih mampu menawarkan harga berpatutan dan mengekalkan kualiti dengan reka bentuk kediaman yang moden serta memenuhi gaya hidup masa kini.

"Buktinya, sepanjang pembabitan KDSB dalam pembangunan hartanah sejak 2014, KDSB berjaya menyempurnakan pembangunan bernilai lebih RM260 juta dalam nilai pembangunan kasar (GDV). Ini adalah satu penanda aras yang cukup positif," katanya.

Menurutnya, kejayaan bersepadu ini, bukan sahaja mendorong KDSB untuk terus menjadi tumpuan dalam industri malah mula dikenali sebagai pemain utama yang semakin agresif dalam pembangunan hartanah mampu milik khususnya di Lembah Klang.

"Pastinya menerusi komitmen berterusan yang diberikan, KDSB mampu memenuhi permintaan yang semakin meningkat.

"Dengan kejayaan jualan melebihi 1,000 unit kediaman mampu milik sejak 2014, KDSB bersedia untuk mengorak langkah dan optimistik untuk menjadi salah satu pemaju hartanah yang disegani serta dihormati menerusi kejayaannya," katanya.

Antara usaha yang dilakukan KDSB untuk terus berdaya saing dalam industri adalah menjalin kerjasama (JV) dengan pemilik tanah dalam usaha menawarkan hartanah dengan harga mampu milik dan pada masa sama tuan tanah turut memperoleh keuntungan.

PELBAGAI projek mampu milik dilaksanakan KDSB.
PELBAGAI projek mampu milik dilaksanakan KDSB.

"Kami sudah berjaya menyiapkan 15 projek membabitkan kolaborasi dengan pemilik tanah. Menerusi inisiatif ini, pemilik (tanah) turut memperoleh manfaat dengan ditawarkan kediaman di tanah terbabit (berdasarkan syarat ditetapkan).

"Kelebihan KDSB adalah mempunyai pasukan yang profesional dan mempunyai rekod cemerlang dalam menyiapkan projek perumahan seumpama ini," katanya.

KDSB turut menawarkan khidmat pengubahsuaian kediaman yang dilaksanakan pereka profesional dengan tawaran harga yang berpatutan.

Beliau berkata, memasuki ulang tahun ke-10 pada ini, KDSB ingin terus kekal memenuhi impian setiap individu untuk memiliki kediaman sendiri yang sempurna dengan harga mampu milik.

"Bagi sebuah organisasi yang mula mengorak langkah dari bawah menerusi pengalaman, ternyata dengan pencapaian yang dilalui selama 10 tahun ini mempunyai pelbagai kemanisan untuk dikenang dan juga kepahitan untuk dipelajari.

"Berbekalkan segala kepakaran yang ada, KDSB akan terus mewarnai industri pembangunan dan pembinaan dengan menyediakan kepelbagaian jenis kediaman mampu milik khas buat semua," katanya.

Terbaharu, KDSB akan melancarkan projek hartanah kondominium pertama di lokasi yang amat strategik, iaitu Sungai Ramal Kajang, Selangor.

Mengulas lanjut, Mervyn berkata, selepas 10 tahun, membangunkan kediaman mampu milik dengan pilihan berlaman seperti banglo, semi-D, teres satu tingkat dan dua tingkat, KDSB mengotakan janji dengan mempelbagaikan pilihan dalam kediaman mampu milik buat semua.

"Kondominium yang dinamakan Vista Bayu, Sg Ramal ini adalah projek pertama kondominium dengan 187 unit di tanah rezab Melayu dengan status pegangan bebas.

"Masih mengekalkan matlamat sama, kediaman mampu milik yang sempurna dikelilingi fasiliti menarik pastinya bakal melengkapkan gaya hidup terkini sekali menjadi titik permulaan kepada lebih banyak projek rumah bertingkat tinggi daripada KDSB seiring dengan pembangunan kediaman berlaman," katanya.

Pihaknya bertekad untuk meluaskan lagi pembangunan di sekitar kawasan Shah Alam, Klang, Banting dan Kajang.

"KDSB akan terus mengorak langkah dan optimis untuk membangunkan dengan sempurna kediaman mampu milik untuk semua di sekitar Lembah Klang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 January 2024 @ 7:00 AM