RUMAH Rehat  Kuala Kubu Bharu cukup selesa.
RUMAH Rehat Kuala Kubu Bharu cukup selesa.
Oleh Md Fuzi Abd Lateh

Kuala Kubu Bharu: Penginapan selesa dengan tawaran istimewa bakal dinikmati pelumba sirkit akhir Harian Metro Mountain Bike (MTB) Grand Prix Cuti-Cuti 1Malaysia 2014 di Taman Millenium Kuala Kubu Bharu hujung minggu ini.

Setiausaha Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS), Azman Dahlan berkata, pakej penginapan menarik percutian keluarga suasana ‘desa’ disediakan kepada pelumba yang mengambil bahagian.

Menurutnya, terdapat lebih 10 lokasi penginapan sekitar pekan Kuala Kubu Bharu dan bandar berdekatan seperti di Batang Kali dan Bukit Beruntung.

“Mereka boleh menginap di Rumah Rehat Kuala Kubu Bharu, Kem Bina Semangat Ampang Pecah Institut Kemahiran Belia Negara Pertak dan beberapa hotel bajet lain di Batang Kali.

“Saya yakin lebih 100 bilik bakal ditempah pelumba yang ingin bermalam di Kuala Kubu Bharu bermula esok,” katanya.

Beliau berkata, pihak MDHS sedia memberikan panduan pemilihan hotel dan pakej penginapan sesuai.

“Tawaran harga penginapan semalam bermula RM80 hingga RM220 mengikut saiz bilik serta kemudahan.

“Saya yakin bilik sederhana dan selesa juga boleh ditempah dengan mudah.

“Kami bangga ramai pelumba sudah mula menempah penginapan di sini bagi menikmati panorama indah, damai dan menenangkan jiwa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Disember 2014 @ 3:30 AM