ZURAINI (kanan) sentiasa memberi dorongan kepada anak.
ZURAINI (kanan) sentiasa memberi dorongan kepada anak.

Kuala Kubu Bharu: Semangat berkayuh bersama anak lelaki menjadi inspirasi kejayaan Zuraini Jalil, 45, menduduki tempat kesembilan sirkit akhir Harian Metro Mountain Bike Grand Prix Cuti-Cuti 1Malaysia 2014 di IKBN Pertak, Taman Millenium, Kuala Kubu Bharu, Sabtu lalu.

Menyertai acara XC race veteran, dia tenang berdepan pelumba hebat kebangsaan menamatkan saingan 38 kilometer bersama anaknya, Mohd Iqbal, 12 yang menyertai acara XC race junior.

Menurut Zuraini, dia perlu melepasi trek basah dan licin untuk terus berada dalam kelompok hadapan.

Katanya, penyertaan dalam tiga sirkit terdahulu memberi pengalaman kepadanya menamatkan perlumbaan untuk mengutip 11 mata keseluruhan.

“Saya sentiasa memberi dorongan kepada anak untuk cuba menyertai sirkit hebat ini. Kejayaan memberi galakan kepadanya untuk terus membaiki kedudukan.

“Pengalaman berkayuh sejak empat tahun lalu digunakan walaupun perlu melalui cabaran getir sirkit akhir ini. Latihan bersama pasukan Kuala Selangor Cycling Club (KSCC) beberapa bulan lalu membuahkan kejayaan,” katanya.

Mesra dikenali sebagai Cikgu Zack, Zuraini puas hati menamatkan cabaran dengan catatan 2 jam 24 minit. Manakala Iqbal pula 3 jam 5 minit di kedudukan 200.

“Amat berat bagi pelumba seperti saya bersaing dengan nama besar seperti Nor Effendi Rosli dan Sofian Nur.

“Namun, keyakinan dan semangat juang mampu mengatasi segala keperitan dalam diri masing-masing,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Disember 2014 @ 7:12 AM