FADHLINA (dua dari kanan) menyampaikan hadiah cabutan bertuah kepada pengunjung. FOTO Nur Izzati Mohamad
FADHLINA (dua dari kanan) menyampaikan hadiah cabutan bertuah kepada pengunjung. FOTO Nur Izzati Mohamad
Nur Izzati Mohamad


Nibong Tebal: Kementerian Pendidikan (KPM) akan memastikan semua anak kepada wira negara yang terkorban dalam nahas helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Lumut, Perak, Selasa lalu mendapat pembelaan dari sudut kebajikan dan pendidikan.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, pihaknya mengenalpasti terdapat seramai 10 anak mangsa tragedi itu bersekolah di bawah kendalian kementeriannya.

Sehubungan itu, katanya, beliau mahu kebajikan anak-anak mangsa berkenaan terus dijaga sehingga mereka tamat persekolahan kelak.

"Di peringkat KPM kita akan teruskan dari segi pembelaan mereka dalam sudut pendidikan begitu juga dengan bantuan khususnya mengenai pendidikan mereka.

"Saya fikir untuk pendidikan mereka ini, kita akan buat susur tindak bagi memastikan kebajikan dijaga sehingga mereka habis (tamat) peringkat persekolahan.

"Di bawah jagaan KPM ada 10 orang yang masih bersekolah. Kita memang beri tumpuan penuh pendidikan mereka secara keseluruhannya yang kita sudah tahu mana mereka bersekolah dan kita akan pastikan kebajikan mereka dijaga," katanya ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka anjuran pusat khidmatnya di sini, malam ini.

Fadhlina berkata, sebaik tragedi yang menimpa wira negara terbabit pihaknya sudah tampil menghulurkan bantuan di peringkat Yayasan Guru Tun Hussein Onn (YGTHO) dan Yayasan Didik Negara (YDN).

"Bantuan itu disampaikan kepada keluarga dan anak-anak mangsa terbabit," katanya.

Selasa lalu, negara dikejutkan dengan insiden dua helikopter milik TLDM terhempas ketika menjalani latihan raptai bersempena lintas hormat sambutan Hari Ulang Tahun TLDM ke-90.

Insiden itu, yang berlaku di Pangkalan TLDM Lumut, mengorbankan kesemua 10 anggota dalam dua helikopter terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 April 2024 @ 11:17 PM