SUHARDI (kanan) mempamerkan hadiah dimenangi.
SUHARDI (kanan) mempamerkan hadiah dimenangi.
Oleh Md Fuzi Abd Lateh

Kuala Kubu Bharu: Mengalami kecederaan lutut selepas terjatuh tidak mematahkan semangat pelumba berpengalaman, Suhardi Hassan menamatkan saingan sekali gus menduduki tempat ketiga kategori Terbuka Jamboree pada sirkit akhir Harian Metro Mountain Bike Grand Prix Cuti-Cuti 1Malaysia 2014 di IKBN Pertak, Taman Millenium, Kuala Kubu Bharu, baru-baru ini.

Pelumba yang mewakili SBS Giant Racing Team bertekad memberikan saingan hebat walaupun terpaksa berkayuh dengan tayar belakang bocor ketika jarak berbaki kurang 3 kilometer.

Katanya, ketika melepasi saingan kilometer 25, dia terjatuh kerana trek licin selepas hujan lebat.

“Pengalaman lebih 14 tahun mewakili pasukan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) digunakan untuk menghadapi cabaran ini.

“Saingan sejauh 38 kilometer perlu dilalui. Saya hampir kecewa apabila bengkak kaki selepas terjatuh, namun saya mesti tamatkan perlumbaan,” katanya.

Suhardi yang menyertai tiga sirkit terdahulu tidak mahu terlepas mencipta rekod individu bersaing dengan pelumba lain yang sudah mencipta nama masing-masing.

Katanya, dia menduduki tempat ke-11 (sirkit Kuala Kangsar) kedua (Nibong Tebal dan Asahan, Melaka).

“Saya tidak sertai sirkit di Temerloh, Pahang kerana ada urusan peribadi. Saya memang berazam menebus kekecewaan di sirkit akhir ini.

“Insya-Allah saya berhasrat menyertai semua sirkit tahun ini untuk memburu kejuaraan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 January 2015 @ 7:30 AM