SULTAN Nazrin dan Tuanku Zara berkenan menyampaikan duit raya pada sambutan Hari Raya Aidilfitri PDRM Kontinjen Perak. FOTO L Manimaran
SULTAN Nazrin dan Tuanku Zara berkenan menyampaikan duit raya pada sambutan Hari Raya Aidilfitri PDRM Kontinjen Perak. FOTO L Manimaran
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim berkenan ke Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Perak di Markas Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) Unit 5, Sungai Senam, di sini, malam ini.

Ketibaan baginda jam 8.30 malam pada majlis anjuran Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak itu disambut Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri serta Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan negeri, Datuk Mohd Zolkafly Harun mewakili Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Turut berangkat Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa; Raja Puan Besar Perak, Raja Nazhatul Shima Idris Shah; Raja DiHilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Idris Shah; dan Raja Puan Muda Perak, Tunku Soraya Abdul Halim Shah.

Hadir sama Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid dan isteri, Datin Aznee Abu Samah.

Majlis turut diserikan dengan persembahan nyanyian selain turut diserikan dengan penampilan penyanyi ternama tanah air, Siti Nordiana.

Mohd Yusri turut menyanyikan lagu bertajuk Salam Dunia nyanyian asal Datuk M. Nasir sebelum berduet bersama Siti Nordiana dengan menyanyikan lagu Seloka Hari Raya nyanyian asal Hail Amir dan Uji Rashid.

Sementara itu, Mohd Yusri ketika sembah ucapannya memohon semua hadirin membacakan surah al-Fatihah bagi disedekahkan kepada 10 mangsa nahas dua helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Pangkalan TLDM Lumut, Selasa lalu.

"Ampun Tuanku, patik memohon limpah perkenan mewakili sekalian yang hadir menzahirkan rasa dukacita di atas insiden kemalangan dua helikopter pada Selasa lalu di Lumut.

"Semoga roh wira-wira negara yang terkorban dalam nahas itu akan ditempatkan dalam kalangan para syuhada.

"Salam takziah kepada keluarga mangsa dan marilah sama-sama kita sedekahkan bacaan surah al-Fatihah kepada wira-wira negara yang terkorban ini. Al-Fatihah," katanya.

Sebelum berangkat pulang kira-kira jam 10.30 malam, Sultan Nazrin dan Tuanku Zara turut berkenan menyampaikan sumbangan duit raya khusus kepada anak-anak yatim warga PDRM Perak.

Baginda berdua selepas itu meninjau gerai makanan yang disediakan mengikut 16 kontinjen Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) seluruh Perak selain turut berkenan menyaksikan pertunjukan bunga api sempena majlis itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 April 2024 @ 11:05 PM