FAHMI bersama Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa menunjukkan kemahiran membuat kuih putu mayung ketika program Jiwa Madani di Kampung Seberang Ramai hari ini. FOTO Bernama
FAHMI bersama Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa menunjukkan kemahiran membuat kuih putu mayung ketika program Jiwa Madani di Kampung Seberang Ramai hari ini. FOTO Bernama
BERNAMA

Kuala Perlis: Ketua Penerangan PKR Fahmi Fadzil hari ini membangkitkan persoalan mengenai keberadaan pemimpin-pemimpin utama Pas di Perlis berbanding di Kuala Kubu Baharu, Selangor.

Fahmi berkata perkara itu dilihat agak 'menarik' namun beliau sendiri tidak pasti apa yang cuba disampaikan oleh pemimpin Pas untuk tidak berada di Kuala Kubu Baharu khususnya pada hari penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri Kuala Kubu Baharu hari ini.

"Saya lihat pimpinan utama Pas semua berada di Perlis sekali dengan saya. Saya tak pastilah apa maksudnya bila mereka tidak ada bersama di Kuala Kubu Baharu dan apapun, saya sendiri telah hadir baru-baru ini," katanya kepada pemberita di sini.

Terdahulu, Fahmi yang dalam lawatan kerja tiga hari ke Perlis, menghadiri Program Jiwa Madani di Kampung Seberang Ramai di sini.

Difahamkan, Pas menganjurkan majlis sambutan rumah terbuka peringkat pusat parti itu di Dewan 2020, Kangar dekat sini hari ini dari 11 pagi hingga 2 petang.

Antara yang hadir pada program itu ialah Mursyidul Am Datuk Hashim Jasin, Presiden Tan Sri Abdul Hadi Awang, Timbalan Presiden Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, Setiausaha Agung Datuk Seri Takiyuddin Hassan, Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dan Menteri Besar Perlis Mohd Shukri Ramli.

Fahmi, yang juga Menteri Komunikasi, berkata calon Kerajaan Perpaduan iaitu Pang Sock Tao dilihat memiliki peluang cerah untuk memenangi PRK itu.

PRK itu menyaksikan Pang daripada DAP akan bersaing dengan calon Perikatan Nasional (PN) daripada Bersatu Khairul Azhari Saut, Hafizah Zainuddin (Parti Rakyat Malaysia) dan Nyau Ke Xin (Bebas).

PRK Kuala Kubu Baharu diadakan susulan kematian wakil rakyatnya, Lee Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lalu akibat kanser.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian pada 11 Mei manakala pengundian awal pada 7 Mei.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 April 2024 @ 9:30 PM