Oleh Md Fuzi Abd Lateh


Kuala Kubu Bharu: Panorama alam semulajadi indah, damai dan menyejukkan dapat dinikmati peserta cabaran lasak Harian Metro Mountain Bike (MTB) Grand Prix Cuti-Cuti 1Malaysia 2014 di Taman Millenium Kuala Kubu Bharu, 27 Disember ini.

Destinasi hutan lipur, sungai dan air terjun sekitar pekan Kuala Kubu Bharu pasti menggamit pelumba seluruh negara ke sini.

Setiausaha Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) Azman Dahlan berkata, terdapat lebih 10 kawasan rekreasi cukup mendamaikan.

Katanya, penganjuran kejohanan ini juga bertujuan mempromosikan destinasi percutian keluarga, murah dan masih belum dicemari.

“Kami mahu lebih 1,300 peserta menikmati keindahan alam sekitar menarik di kawasan Kuala Kubu

Bharu. Mereka dapat berehat setelah penat menyertai sirkit pusingan akhir itu.

“Kawasan berbukit, lembah, berair dan mempunyai kedalaman curam menurun sesuai dijalankan aktiviti riadah berbasikal di sini,” katanya.

Azman berkata, destinasi menarik yang sering dikunjungi orang ramai termasuklah Air Terjun Sungai Kedondong di Jalan Genting Highlands, Sungai Sendat, Batang Kali, Kolam Air Panas di Kerling, Empangan Sungai Selangor di Jalan Bukit Fraser, Sungai Ampang Pecah, Lata Templer Kai di Serendah dan Kem Bina Semangat, Kuala Kubu Bharu.

Katanya, kakitangan MDHS sedia memberikan kerjasama serta panduan kepada peserta yang ingin berkunjung ke kawasan percutian menarik itu.

“Peserta boleh membawa rakan dan keluarga berkelah sambil menikmati keindahan alam semulajadi yang belum tercemar.

“Selain membawa makanan sendiri, mereka juga boleh membeli di gerai yang disediakan MDHS di destinasi berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, peserta luar Selangor yang datang lebih awal dari tarikh kejohanan berpeluang berkunjung ke kawasan menarik itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Disember 2014 @ 5:09 AM