Mustapa  (dua dari kiri) bersama  Musa  (kiri),  Abdul Ghafar (kanan) dan  Azman  (dua dari kanan) bergambar bersama pemenang kategori XC Metro Race.
Mustapa (dua dari kiri) bersama Musa (kiri), Abdul Ghafar (kanan) dan Azman (dua dari kanan) bergambar bersama pemenang kategori XC Metro Race.
Oleh Md Fuzi Abd Lateh

Kuala Kubu Bharu: Penganjuran kejohanan berbasikal sirkit Harian Metro Mountain Bike (MTB) Grand Prix Cuti-Cuti 1Malaysia 2014 di Taman Millenium, Kuala Kubu Bharu yang berakhir kelmarin mampu menjulang negara ke peringkat antarabangsa.

Pengarah Pemasaran Domestik Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia, Datuk Musa Yusof berkata, kerjasama Tourism Malaysia bersama Harian Metro sejak dua tahun lalu mencapai objektif yang disasarkan dalam usaha mempromosikan destinasi pelancongan negara.

Katanya, semakin ramai menyertai sirkit tahun ini dengan bilangan peserta yang semakin bertambah dari masa ke semasa.

“Saya mendapat makluman amat baik, ramai yang menjadikan riadah berbasikal amalan sihat dalam dan luar negara.

“Negara kita kini dikenali dengan keindahan alam semulajadi, kehijauan bukit-bukau dan kejernihan air sungai. Pakej percutian berbasikal seperti di Kuala Kubu Bharu ini amat sesuai diadakan,” katanya.

Hadir sama, Pengarang Kumpulan Harian Metro Datuk Mustapa Omar, Timbalan Pengarang Kumpulan Abdul Ghafar Ismail, Setiausaha Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS), Azman Dahlan dan Pengarah Institut Kemahiran Negara (IKBN) Pertak, Wan Salam Wan Yusof.

Beliau berkata, kementerian itu akan terus menjalankan hubungan baik seperti ini demi manfaat bersama tahun depan.

“Kami mempunyai 89 agensi pelancongan di luar negara yang sedia membantu mempromosikan produk pelancongan berbasikal Malaysia seperti MTB ini.

“Semoga lebih banyak destinasi menarik dalam negara dapat dipromosikan pada masa akan datang,” katanya.

Sementara itu, Mustapa berkata, seramai 1,250 peserta mengambil bahagian pada sirkit akhir kali ini.

Katanya, ternyata peserta dapat menamatkan cabaran berbasikal sejauh 38 kilometer selepas penganjur mengubah laluan kerana trek mengalami masalah akibat banjir kelmarin.

“Saya gembira dengan kejayaan lima sirkit tahun ini dan berharap terus mendapat kerjasama penganjur utama, Tourism Malaysia pada tahun depan.

“Ramai gembira dengan penganjuran sirkit akhir yang cukup berjaya ini. Program tahun depan akan dianjurkan berkonsep festival untuk disertai lebih ramai pelumba dalam dan luar negara,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Disember 2014 @ 5:08 AM