EFFENDI (kanan) bergambar bersama pemenang pertama kategori XC Metro Master, Supian Nor (tengah) dan Praset Chitmart (ketiga).
EFFENDI (kanan) bergambar bersama pemenang pertama kategori XC Metro Master, Supian Nor (tengah) dan Praset Chitmart (ketiga).
Oleh Md Fuzi Abd Lateh

Kuala Lumpur: Pelumba kebangsaan, Nor Effendi Rosli optimis kembali menaiki podium untuk muncul juara kategori XC Terbuka Veteran di Sirkit Harian Metro Mountain Bike (MTB) Grand Prix Cuti-Cuti 1Malaysia tahun ini.

Mewakili pasukan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), pelumba berusia 47 tahun ini bersedia sepenuhnya untuk terus bersaing dengan peserta baru di sirkit berprestij ini.

Dia berkata, setiap kali bertanding hanya kedudukan juara menjadi sandaran penuh keyakinan dalam dirinya.

“Saya yakin mampu julang kejuaraan. Kalau tempat kedua itu sudah dikira tewas. Sandaran pengalaman berkayuh sejak 1985 perlu digunakan sebaiknya dalam sirkit ini.

“Kejayaan menggenggam juara sirkit di IKBN Pertak, Taman Millenium, Kuala Kubu Bharu tahun lalu amat berharga dan perlu diteruskan,” katanya ketika ditemui Arena Metro di sini semalam.

Ayah kepada empat anak ini mengumpul 88 mata sirkit tahun ini apabila mencatatkan kemenangan di Kuala Kangsar (18 mata), Temerloh, Pahang (16), Nibong Tebal (16), Asahan, Melaka (18) dan Kuala Kubu Bharu (20).

Katanya, sebelum berentap di sirkit akhir lalu dia mengambil cuti sebulan untuk berkayuh lebih 3 jam setiap hari.

“Saya akan beri komitmen sepenuhnya demi mencapai sasaran menjadi juara. Pengalaman luas membantu saya dalam sirkit ini.

“Usaha penganjur Harian Metro mengadakan sirkit ini amat baik. Saya cadangkan agar pihak tertentu terutama Persekutuan Lumba Basikal Malaysia (PLBM) mengambil langkah proaktif dengan menjulang kehebatan sukan ini kembali,” katanya.

Menurut Effendi, dia kini melatih anak keduanya, Nurdina Safiah yang berusia 16 tahun agar lebih cemerlang dalam acara ini. Nurdina menduduki tempat kedua kategori XC Terbuka Wanita di sirkit akhir tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 January 2015 @ 5:06 AM