Oleh Md Fuzi Abd Lateh


Kuala Kubu Bharu: Pelumba Polygon Malaysia Mohd Zuki Tahir berazam mengekalkan pencapaian ketiga terbaik kategori terbuka Jamboree pada Harian Metro Mountain Bike (MTB) Grand Prix Cuti-Cuti 1Malaysia 2015.

Menurutnya, walaupun terpaksa bersaing dengan pelumba kebangsaan yang hebat dia bertekad untuk terus muncul atas podium mengenggam kemenangan.

Katanya, pencapaian naib juara pada sirkit akhir di IKBN Pertak- Taman Millenium, Kuala Kubu Bharu Disember lalu memberi kepuasan kepada dirinya untuk terus berjuang.

“Saya berkayuh mewakili Polygon Malaysia sejak dua tahun lalu. Pasukan kami bertekad memburu kemenangan tiga tangga teratas.

“Walaupun sulit menewaskan pelumba mantap, Mohd Hafiz Rosli dan Suhardi Hassan namun semangat berjuang perlu ada dalam diri,” katanya.

Pelumba berusia 36 tahun itu tidak menyertai dua sirkit di Kuala Kangsar, Perak dan Temerloh, Pahang namun mampu membuktikan kehebatan menjuarai kategori sama di sirkit Asahan, Melaka.

Mohd Zuki bertekad untuk lebih cemerlang tahun ini dengan menyertai banyak kejohanan.

“Saya akan melipat gandakan latihan dengan berkayuh lebih kerap selepas waktu kerja dan juga cuti hujung minggu.

“Berkayuh aktiviti riadah sihat yang perlu dilakukan demi mengekalkan momentun kayuhan dan stamina,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 January 2015 @ 5:13 AM