TSITSIPAS kecewa selepas kalah di tangan Monteiro. FOTO  AFP
TSITSIPAS kecewa selepas kalah di tangan Monteiro. FOTO AFP
AFP

Madrid: Stefanos Tsitsipas tewas mengejut pusingan kedua di tangan pemain nombor 118 duniaz, Thiago Monteiro di Madrid, manakala Iga Swiatek mara ke pusingan 16 terakhir di Caja Magica.

Tsitsipas, yang tiba di ibu negara Sepanyol itu dengan hanya satu kekalahan di gelanggang tanah liat musim ini, tewas 4-6, 4-6 kepada pemain kelayakan dari Brazil itu dalam masa lebih 90 minit.

Pemain nombor tujuh dunia dari Greece itu mendapat bye pusingan pertama dan menyertai kejohanan itu selepas kejayaan menjulang gelaran ketiga di Monte Carlo dan naib juara di Barcelona dua minggu sebelumnya.

Tetapi Monteiro kelihatan lebih selesa, mendapat manfaat daripada memenangi tiga perlawanan minggu ini, menerusi kelayakan dan undian utama.

"Pastinya ini adalah salah satu kemenangan terbesar dalam karier saya," kata Monteiro, yang mara ke pusingan ketiga Masters 1000 buat kali pertama.

"Saya tahu ia adalah perlawanan yang sangat sukar tetapi saya cuba mempercayai diri saya sepanjang masa. Saya berasa baik di gelanggang, saya suka bermain di atas tanah liat."

Di Stadium Manolo Santana, naib juara tahun lalu, Iga menewaskan pemain Romania Sorana Cirstea 6-1, 6-1 untuk menempah pertemuan pusingan keempat dengan wakil Sara Sorribes Tormo yang menewaskan bekas pemain nombor satu dunia, Victoria Azarenka 7-6 (7/0), 6-3.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 April 2024 @ 9:46 PM