PSM sudah melakukan kerja pembaikan dengan baik bagi memastikan padang dalam keadaan terbaik. FOTO SYAZWAN MSAR
PSM sudah melakukan kerja pembaikan dengan baik bagi memastikan padang dalam keadaan terbaik. FOTO SYAZWAN MSAR
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) boleh menarik nafas lega apabila Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) tidak buat hal pada aksi pertunjukan 'Battle of The Reds' antara Manchester Reds dan Liverpool Reds, hari ini.

Walaupun keadaan hujan lebat setengah jam sebelum perlawanan bermula namun padang SNBJ berada dalam keadaan terbaik tanpa air bertakung di padang.

Malah, sebaik 15 minit perlawanan bermula menyaksikan rumput tidak terkopak atau tercabut sekali gus aksi berjalan lancar tanpa sebarang masalah.

Sebelum ini, imej negara sekali lagi bakal menjadi taruhan apabila ikon bola sepak dunia bakal berkumpul di SNBJ membabitkan aksi pertunjukan 'Battle of The Reds' antara Manchester Reds dan Liverpool Reds.

Permukaan padang SNBJ yang sering dikritik hebat ekoran kualiti rumput yang teruk hingga menjejaskan momentum permainan selain boleh mendatangkan kecederaan akan digunakan oleh legenda bola sepak dunia untuk aksi pertunjukan itu.

Antara bekas pemain yang akan beraksi adalah Dimitar Berbatov, Mikael Silvestre, Wes Brown dan Teddy Sheringham buat Manchester Reds.

Manakala bekas penjaga gol England dan Liverpool, David James, Emile Heskey, Djibril Cisse, Steve McManaman, John Arne Riise dan serta Luis Garcia akan memperkuatkan skuad Liverpool Reds.

Begitupun penganjur saingan itu, Azman Fahmi Osman memaklumkan pihak PSM sudah melakukan kerja pembaikan dengan baik bagi memastikan padang dalam keadaan terbaik pada perlawanan itu nanti.

Jelas Azman yang juga Pengarah Eksekutif Projek 'Battle of the Reds' itu, jaminan berkenaan diberikan PSM dan beliau percaya isu itu dapat diatasi, sekali gus padang berkenaan sesuai digunakan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 April 2024 @ 9:34 PM