DUPLANTIS pamer aksi konsisten di Liga Berlian Suzhou. FOTO AFP
DUPLANTIS pamer aksi konsisten di Liga Berlian Suzhou. FOTO AFP
AFP

Suzhou: Atlet Sweden, Armand 'Mondo' Duplantis mendominasi acara lompat bergalah lelaki di Liga Berlian Suzhou, hampir untuk memperbaiki rekod dunianya sendiri yang dicatat minggu lalu.

Penyandang juara Olimpik, yang melepasi 6.24 meter (m) di Xiamen untuk rekod dunia kelapannya, melengkapkan kemenangan di Suzhou dengan catatan rekod kejohanan 6.00m.

Palang serta-merta dinaikkan kepada 6.25m, tetapi ia terlalu sukar buat Duplantis yang gagal pada ketiga-tiga percubaan walaupun hampir melepasinya pada lompatan terakhir.

Juara dunia 100m wanita, Sha'Carri Richardson mengalami satu lagi kekecewaan dalam acara 200m, dengan pelari Amerika Syarikat (AS) itu menduduki tempat ketiga hasil catatan 23.11 saat (s) di belakang wakil Britain, Daryll Neita yang mencatat masa 22.62s dan rakan senegaranya, Anavia Battle (22.99s).

"Saya datang ke sini dengan berdoa dan berharap untuk menang," kata Daryll selepas memulakan persiapannya menjelang ke Sukan Olimpik Paris.

"Untuk tampil ke sini dan memenanginya, dalam masa yang baik, dalam persaingan sengit, saya berasa sangat yakin untuk ke hadapan."

Akani Simbine dari Afrika Selatan memenangi acara 100m lelaki dalam masa 10.01s di hadapan Christian Coleman dari AS.

"Saya menjangkakan prestasi yang lebih baik tetapi saya baik-baik saja dengan keputusan hari ini iaitu catatan terbaik musim ini," kata Coleman.

"Saya bersedia untuk Sukan Olimpik. Saya akan terus berlatih dan bertambah baik dalam beberapa bulan akan datang."

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 April 2024 @ 10:08 PM