BERNAMA

Petaling Jaya: Sebanyak 666 kes keganasan domestik dicatat Pusat Khidmat Krisis Sehenti (OSCC) Hospital Kuala Lumpur (HKL) dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata, daripada jumlah itu, 523 adalah kes deraan fizikal terhadap wanita dan 20 kes deraan fizikal terhadap lelaki.

"Kes rogol wanita pula mencatat 89 kes daripada jumlah keseluruhan dan tiada kes rogol lelaki. Bagi kes liwat lelaki dan wanita, masing-masing mencatat 10 dan 15 kes.

"Selebihnya kes keganasan membabitkan warga emas dan kanak-kanak," katanya berucap pada Persidangan OSCC 2016 di sini, hari ini.

Mengenai persidangan itu, Dr Hilmi berkata ia adalah medium memperkasa perkhidmatan bagi merawat mangsa keganasan domestik serta membela hak asasi mereka.

“Anak-anak kecil, kaum wanita dan juga lelaki serta warga tua yang tertindas memerlukan pembelaan sewajarnya," katanya.

Menurutnya, pelbagai faktor menjadikan individu cenderung kepada keganasan, termasuk kekangan ekonomi dan hubungan tidak sihat dalam keluarga serta tekanan di tempat kerja.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 November 2016 @ 10:54 PM