GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
BERNAMA

Kuala Terengganu: Kerajaan Terengganu digesa mencari satu solusi yang boleh dilaksanakan segera bagi menyelesaikan masalah keganasan rumah tangga di negeri ini yang membimbangkan.

Ahli Dewan Undangan Negeri Wanita Zuraida Md Noor berkata, berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM), sebanyak 288 kes keganasan rumah tangga berlaku di Terengganu pada 2020.

"Pusat Khidmat Krisis Sehenti (OSCC) Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), merekodkan 114 kes keganasan rumah tangga berlaku di negeri ini sepanjang Januari hingga Ogos tahun ini.

"Kes yang dilaporkan merangkumi kes rogol, cabul, liwat serta penderaan rumah tangga dan kanak-kanak," katanya ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah ucapan Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.

Beliau berkata, paling merisaukan adalah kesedaran mangsa untuk melaporkan kejadian yang menimpa mereka masih berada pada tahap rendah kerana berhadapan dengan ugutan dan ancaman sekiranya membuat laporan dan juga demi menjaga maruah keluarga.

Menurutnya, berdasarkan perbincangan pihaknya bersama OSCC di HSNZ, pengurusan mangsa bagi kes keganasan rumah tangga yang dilaporkan menjadi rumit terutama selepas waktu bekerja dan pada hari cuti am.

"Sering kali terjadi mangsa diminta pulang semula ke rumah selepas menerima rawatan kerana tiada tempat untuk berlindung. Apabila pihak OSCC menelefon semula pada waktu bekerja, kebanyakan mangsa tidak mahu tampil untuk meneruskan prosedur.

"Amat malang lagi, dalam tempoh ini mangsa terdedah dengan ancaman berulangnya kes terhadap diri mereka," katanya.

Katanya, meskipun wujudnya institusi kebajikan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) iaitu Taman Sinar Harapan sebagai pusat perlindungan sementara kepada mangsa, namun proses penempatan mengambil masa lama dan hanya dapat dijalankan semasa waktu bekerja sahaja.

"Lebih kritikal lagi, tiada pusat perlindungan sementara yang beroperasi 24 jam untuk menempatkan mangsa sementara menunggu kes disiasat oleh pihak berwajib," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 September 2021 @ 4:23 PM