KAT akui gembira dapat jalin kerjasama kali kedua dengan Chossy.
KAT akui gembira dapat jalin kerjasama kali kedua dengan Chossy.
Norhayati Nordin

Pada tahun lalu, bakat anak tempatan dikenali sebagai Kat Roshan, 20, melakar kejayaan peribadi penuh makna pada 'kanvas' karier nyanyiannya apabila bekerjasama dengan bintang Korea Selatan, Su Jin menerusi lagu Going Crazy Wild.

Kali ini, Kat berpeluang pula muncul dengan lagu terbaharunya, Cinta Putih yang bergenre balada serta melodi dan liriknya ditulis sepenuhnya oleh komposer dan penerbit terkenal dari Indonesia, Chossy Pratama.

Menurut Kat atau nama sebenarnya, Katrina Cheng Roshan, dia sebelum ini ada pengalaman bekerjasma dengan Chossy, 73, buat pertama kali ketika berusia 13 tahun dan kini mereka bergabung kembali.

"Saya tidak sangka selepas tujuh tahun lalu, sekarang dapat lagi peluang bekerjasama dengan Pak Chossy yang sebelum ini berbesar hati menyusun semula lagu Rasa yang menjadi karya nyanyian sulung saya pada 2019.

"Sejujurnya, saya suka untuk teruskan kerjasama dengan Pak Chossy kerana melodi lagu dan lirik hasil ciptaannya berupaya menggerakkan banyak emosi dalam diri saya sebagaimana lagu Cinta Putih ini," katanya.

Wanita berdarah campuran Melayu di sebelah bapa dan Cina (ibu) itu berkata, lagu Cinta Putih menceritakan erti perhubungan cinta yang murni dan masih suci yang dipertahankan oleh pasangan.

"Apa pun, Pak Chossy memberikan saya ruang kebebasan sendiri untuk mentafsir lagu Cinta Putih ini mengikut perasaan saya dan emosi itu terserlah secara semula jadi ketika saya menyanyikannya sepenuh hati.

"Bagaimanapun, saya amat terharu dengan melodi dan liriknya (lagu Cinta Putih) ketika baharu merakamkan 'demo' kerana berasa segala usaha itu dihargai kerana ada banyak cinta yang mengelilingi diri saya tanpa disedari," katanya

Kat juga memberitahu, Chossy pada mulanya memaklumkan bahawa dia tidak mempunyai lirik mahupun konsep lagu baharu untuk ditulis, namun tidak sangka ilham itu muncul daripada lagu bahasa Inggeris nyanyiannya sebelum ini berjudul Oasis.

"Masih ingat lagi, dalam muzik video lagu Oasis itu, saya ada memakai pakaian berwarna-warni dan ia memberi inspirasi kepada Pak Chossy untuk menulis lagu mengenai sesuatu yang bertentangan dan hasilnya warna putih bersih.

"Saya amat berterima kasih kepada Pak Chossy kerana sanggup meredah perjalanan yang sukar dari Dili di Timor Timur, kemudian transit di Jakarta dan akhirnya dia tiba juga di Kuala Lumpur untuk mengarahkan saya ketika rakaman lagu Cinta Putih.

"Diharapkan juga supaya saya dapat mengeluarkan bahagian keduanya (lagu Cinta Putih) pada tahun ini juga. Saya amat komited dan bersungguh memastikan impian perancangan yang dirangka itu berjalan lancar dan dipermudahkan urusan," katanya.

Kat berkata, semoga pendengar muzik tempatan terharu dengan emosi cinta yang kuat dipersembahkannya dari hati dalam lagu Cinta Putih, sekali gus menyalurkan rasa positif dalam kehidupan seharian.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 April 2024 @ 6:31 AM