PELANCARAN kempen yang membuka platform kepada lelaki menyatakan sokongan terhadap wanita.
PELANCARAN kempen yang membuka platform kepada lelaki menyatakan sokongan terhadap wanita.
TARIAN bertenaga ditampilkan penduduk sebagai tanda sokongan terhadap kempen.
TARIAN bertenaga ditampilkan penduduk sebagai tanda sokongan terhadap kempen.
ANTARA peserta yang mengambil bahagian dalam memeriahkan Kempen Riben Putih.
ANTARA peserta yang mengambil bahagian dalam memeriahkan Kempen Riben Putih.
Faizatul Farlin Farush Khan


Dalam usahanya melindugi wanita daripada keganasan dan berkempen untuk kesaksamaan jantina, Persatuan Bertindak Wanita (AWAM) menjalin usaha sama dengan beberapa pihak bagi menjayakan objektif itu.

Antara usaha dijalankan adalah Kempen Riben Putih yang menyediakan platform terbesar kepada lelaki untuk bersama-sama menentang keganasan terhadap wanita dan memperkasakan mereka.

Tahun ini, AWAM turut menjalin kerjasama dengan penduduk taman perumahan Desa ParkCity, Kuala Lumpur selain Sekolah Antarabangsa ParkCity dan Pusat Perubahan ParkCity, bagi penganjuran Larian Riben Putih yang bakal diadakan pada 27 November ini.

Menurut Pengerusi Riben Putih AWAM, Judith Loh, kempen itu diadakan bagi membuka laluan kepada lelaki yang mahu memberikan sokongan terhadap memperkasakan wanita tetapi tidak mempunyai platform sesuai untuk memperkatakan mengenai sokongan mereka itu.

Katanya, kempen itu juga membuka peluang kepada mereka merapatkan jurang antara komuniti supaya pertalian antara masyarakat menjadi lebih kukuh.

“Selama ini ramai lelaki hanya berdiam diri biarpun mahu tampil menunjukkan sokongan terhadap wanita dan melindungi mereka. Mungkin mereka tidak tahu cara atau di mana hendak menyuarakan sokongan itu.

“Melalui kempen ini, kami mahu menyuntik nilai moral ini supaya masyarakat dapat berkembang maju,” katanya pada sidang media yang diadakan baru-baru ini dan turut diserikan dengan tarian bertenaga oleh penduduk kawasan itu.

Katanya, masih ramai belum faham mengenai keganasan terhadap wanita kerana ia bukan hanya memberikan kesan negatif kepada mangsa, sebaliknya menunjukkan ada sekelompok kecil pelaku yang dikategorikan sebagai tidak sihat dan memerlukan bantuan.

Selain itu tanggapan masyarakat yang melihat lelaki lebih berkuasa dalam rumah tangga perlu dibetulkan. Ini kerana dengan beranggapan lelaki lebih berkuasa, ia bererti setiap perlakuan lelaki termasuk mengasari isteri dianggap satu kebiasaan dalam usaha mengajar atau mendidik pasangan.

Tanpa disedari, ia akan memberi kesan negatif kepada anak dan ada kemungkinan mereka meniru perlakuan bapa yang dianggap perkara normal kerana dia dibesarkan dalam persekitaran demikian, sedangkan ia adalah satu kesalahan.

Tidak keterlaluan jika dikatakan kes keganasan terhadap wanita berlaku setiap hari. Pada 2015, Pusat Krisis Sepadu (OSCC) Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Kuala Lumpur (HKL) yang ditubuhkan untuk pemulihan dan pencegahan keganasan terhadap wanita serta kanak-kanak menerima 50 kes sebulan dengan 60 peratus daripadanya membabitkan penderaan wanita, 30 peratus rogol dan selebihnya penderaan kanak-kanak.

Penduduk Desa ParkCity, Victoria de Silva berkata, kempen seumpama itu sentiasa dinanti apatah lagi keganasan terhadap wanita boleh dikatakan berlaku setiap hari.

“Penduduk di sini amat gembira dapat membantu menjayakan kempen seumpama ini kerana ia boleh menyemai pengetahuan dan mendidik masyarakat bertanggungjawab seterusnya menjadi komuniti yang lebih kukuh,” katanya.

Antara usaha menyebarkan kesedaran itu adalah melalui penganjuran Larian Riben Putih yang bakal diadakan akhir bulan ini di taman perumahan Desa ParkCity.

Ia adalah antara usaha lain oleh AWAM sejak tiga tahun lalu yang berjaya mengumpulkan kira-kira 6,000 peserta bagi menyatakan ‘tidak’ kepada keganasan terhadap wanita.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 November 2016 @ 11:48 AM