MALEK pelakon baharu kacukan Melayu-Kanada.
MALEK pelakon baharu kacukan Melayu-Kanada.
Norhayati Nordin


Tiga tahun aktif dalam karier lakonan, bakat baharu dikenali sebagai Malek Mccrone, 28, mengakui dia serius dan menyimpan impian mahu pergi lebih jauh dengan mendapatkan peluang watak mencabar.

Malek atau nama sebenarnya, Malek Marcus Mccrone berkata, dia juga tidak kisah jika perlu melalui proses uji bakat untuk mendapatkan tawaran berlakon kerana itu perkara biasa bagi pendatang baharu sepertinya.

"Saya okay saja dan amat berminat menghadiri sesi uji bakat lakonan sekiranya diberi peluang mendapatkan sesuatu watak walaupun sekarang sudah semakin selesa berlakon.

"Apatah lagi, saya sebelum ini terbabit di pentas peragaan selama 10 tahun, manakala karier lakonan pula baharu tiga tahun sejak 2020. Bagaimanapun, saya ada juga ambil kelas lakonan sebagai inisiatif tambahan.

"Setakat ini saya pernah belajar kelas lakonan dengan Fatimah Abu Bakar dan Datuk Fauziah Nawi, termasuk menghadiri kelas asas berlakon di Akademi Seni Budaya Dan Warisan Kebangsaan (Aswara)," katanya.

Mengulas dirinya mengenai fasih berbahasa Melayu, Malek berkata, walaupun berdarah kacukan Melayu di sebelah emak dan Kanada (ayah), namun dia boleh bertutur bahasa Melayu dengan baik.

"Saya seimbang dalam percakapan dan boleh saja berbahasa Melayu dengan baik selain menguasai bahasa Inggeris kerana berdarah campuran, namun saya lahir dan membesar di Malaysia.

"Malah, saya mendapat pendidikan penuh di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) yang dikelilingi kawan-kawan Melayu," katanya yang lahir dan menetap di Ampang, Selangor.

Menurut Malek lagi, mula-mula dia membabitkan diri sebagai pelakon lebih selesa berbahasa Inggeris, tapi sekarang apabila sentiasa bercakap bahasa Melayu di set penggambaran membuatkan dia seronok.

"Kenapa percakapan bahasa Melayu saya lebih baik sekarang ini sebab saya suruh semua ahli keluarga cakap Melayu dengan saya di rumah, termasuk kawan-kawan bangsa Cina dan India juga kena cakap bahasa Melayu.

"Walaupun kebiasaan di rumah, kami sekeluarga bertutur dalam dwibahasa, Inggeris dan Melayu, tapi sekarang lebih banyak cakap bahasa Melayu sebab saya suruh mereka buat macam itu dengan saya," katanya.

Hingga kini, antara drama lakonan Malek ialah Satukan Rasa, Dia Yang Ku Jadikan Suami, Kebaya Kasut Kanvas, Jesnita, Aku Tanpa Cintamu, Bukan Sekadar Lafaz serta terbaharu, Malang Si Puteri dan First Wives.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 April 2024 @ 6:20 AM