IMPAK pandemik Covid-19 turut menjejaskan sektor pembinaan di negara ini.
IMPAK pandemik Covid-19 turut menjejaskan sektor pembinaan di negara ini.
Fairul Asmaini Mohd Pilus


Keadaan ekonomi semasa bukan sahaja menjejaskan harga barangan di pasaran, malah turut memberi kesan kepada kos bahan binaan di negara ini.

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), purata harga simen di negara ini mencatatkan peningkatan 2.7 peratus pada Mac lalu berbanding tahun lalu.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, pada Mac tahun lalu harga seunit simen, sekarung 50 kilogram (kg) adalah RM22.41.

Kata beliau, dari segi perbandingan bulanan pula, purata harga simen (pada Mac lalu) juga mencatatkan peningkatan kecil (0.2 peratus) dengan purata RM23.01 per 50kg sekarung, berbanding harga pada Februari lalu iaitu RM22.97 per 50kg sekarung.

"Indeks harga seunit bahan itu pada bulan lalu juga kekal tidak berubah bagi hampir semua kawasan di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

"Secara keseluruhan, untuk tempoh Mac tahun lalu hingga Mac lalu menunjukkan indeks harga seunit simen meningkat antara 0.9 peratus hingga 7.7 peratus bagi semua kawasan di Semenanjung, Sabah dan Sarawak," katanya dalam satu kenyataan, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Dr Mohd Uzir berkata, indeks harga seunit besi juga kekal tidak berubah bagi kebanyakan kawasan di Semenanjung, Sabah dan Sarawak pada bulan lalu berbanding Februari lalu.

Namun, ada peningkatan kecil harga bahan binaan penting itu di kawasan Kota Kinabalu (0.2 peratus) dan Sandakan (1.1 peratus).

Kata Dr Mohd Uzir, purata harga seunit besi yang terdiri daripada bar bulat keluli lembut dan

'Mycon 60 high tensile deformed bars' pada bulan lalu adalah RM3,683.51 bagi setiap tan metrik.

PURATA harga simen di negara ini catat peningkatan 2.7 peratus pada Mac lalu berbanding tahun lalu.
PURATA harga simen di negara ini catat peningkatan 2.7 peratus pada Mac lalu berbanding tahun lalu.

"Ia sekali gus mencatat peningkatan kecil iaitu 0.1 peratus berbanding Februari iaitu RM3,679.54 per tan metrik," katanya.

Dalam pada itu, bermula Januari tahun ini, Indeks Kos Bahan Binaan Bangunan (IKB) mengikut kategori bangunan dan kawasan adalah diasaskan semula kepada Januari tahun lalu sama dengan 100 (Januari 2023=100).

Perbandingan bulanan IKB (termasuk bar keluli) bagi semua kategori bangunan pada Mac tahun ini meningkat antara 0.1 peratus hingga 0.2 peratus bagi hampir semua kawasan di Semenanjung.

Namun begitu, ada penurunan bagi IKB (termasuk bar keluli) bagi Kategori Bangunan Kayu dan Cerucuk kayu di Terengganu dan Kelantan (masing-masing negatif 0.6 peratus).

IKB (termasuk bar keluli) di Sabah juga menunjukkan peningkatan antara 0.1 peratus dan 0.5 peratus bagi hampir semua kategori bangunan.

Manakala IKB (termasuk bar keluli) bagi hampir semua kategori bangunan di Kota Kinabalu dan Tawau menunjukkan sedikit peningkatan iaitu 0.1 peratus dan 0.2 peratus pada Mac lalu berbanding bulan sebelumnya.

Indeks bagi hampir semua kategori bangunan di Sandakan pula meningkat antara 0.1 peratus hingga 0.5 peratus berbanding Februari tahun ini.

KEADAAN ekonomi semasa turut beri kesan kepada kos bahan binaan di negara ini.
KEADAAN ekonomi semasa turut beri kesan kepada kos bahan binaan di negara ini.

Perbandingan bulanan IKB (termasuk bar keluli) di Sarawak pada Mac tahun ini menunjukkan peningkatan kecil dalam indeks iaitu 0.1 peratus bagi kategori bangunan (konkrit tetulang) dua hingga empat tingkat (berbumbung curam) di Kuching.

Indeks bagi hampir semua kategori bangunan lain di Kuching, Sibu dan Miri kekal tidak berubah.

DOSM turut melancarkan OpenDOSM NextGen sebagai medium yang menyediakan katalog data dan visualisasi bagi memudahkan pengguna menganalisis pelbagai data.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) Malaysia, Datuk NK Tong sebelum ini berkata, pihaknya mendapati 91 peratus pemaju menyatakan mengalami kenaikan kos bahan binaan lebih tinggi tahun lalu.

Kata beliau, berdasarkan tinjauan yang dibuat membabitkan 152 pemaju daripada lebih 1,500 ahli Rehda di Semenanjung, ia mendapati 10 peratus daripadanya melaporkan kenaikan lebih 10 peratus secara purata tahun lalu bagi pasir dan konkrit.

Katanya, bagi separuh pertama tahun ini, pemaju menjangkakan secara purata harga bahan binaan meningkat 15 peratus yang memberi kesan kritikal terhadap operasi perniagaan mereka.

Kesan itu juga kata beliau, ia dilihat sebagai isu berterusan disebabkan impak pandemik Covid-19 dan tidak menunjukkan tanda akan hilang dalam tempoh terdekat.

"Peningkatan bahan binaan bermakna kos pembinaan lebih tinggi, yang akhirnya merugikan rakyat.

"Kami berharap isu ini ditangani dengan berkesan dan semua pemain industri memainkan peranan mereka dalam memastikan rakyat Malaysia tidak terus terjejas dengan kenaikan ini," katanya pada taklimat media mengenai Tinjauan Industri Hartanah Rehda Bagi Separuh Kedua 2023 dan Tinjauan Pasaran untuk 2024, baru-baru ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 April 2024 @ 7:01 AM