DUNIA di hujung jari antara sebab utama gejala sosial itu semakin menular dalam masyarakat. - Gambar hiasan
DUNIA di hujung jari antara sebab utama gejala sosial itu semakin menular dalam masyarakat. - Gambar hiasan
Fairul Asmaini Mohd Pilus


Kononnya tidak puas dengan layanan pasangan masing-masing di bilik tidur menjadi alasan mengapa suami atau si isteri sanggup membuat hubungan terlarang di luar.

Kaunselor motivasi dan keluarga, Hushim Salleh berkata, dia menerima banyak kes setiap bulan berkaitan isu suami atau isteri yang curang dalam perkahwinan hingga sanggup 'makan luar' untuk memuaskan nafsu peribadi.

Terbaharu kata Hushim, ada isteri yang mengandung anak ketiga datang meminta nasihat kerana suaminya sudah lebih tujuh tahun mengamalkan hubungan bebas di luar dengan berbelas wanita.

"Suaminya kantoi apabila seorang daripada skandal menghubungi wanita berkenaan memaklumkan mengenai hubungan terlarang mereka.

"Memang pada mulanya si isteri tidak percaya kerana suaminya berperwatakan baik, namun selepas disoal banyak kali baru dia mengaku.

"Alasan si suami mudah iaitu tidak puas dengan isteri menyebabkan dia mencari wanita lain di luar, tidak kira isteri orang atau wanita bujang semuanya tanpa bayaran dan atas suka sama suka," katanya ketika dihubungi.

Beliau mengulas mengenai isu curang dalam kalangan pasangan yang sudah berkahwin seperti dipaparkan Harian Metro, Sabtu lalu.

Menurut Hushim lagi, sejak kebelakangan ini, semakin banyak kes membabitkan suami orang curang dengan isteri orang dan isteri mempunyai hubungan terlarang dengan suami orang yang dirujuk kepadanya.

Tidak kurang juga, golongan bujang yang terjebak dalam perbuatan zina, melakukan hubungan seks atas dasar suka sama suka dengan suami atau isteri orang walaupun pertama kali berjumpa.

BANYAK kes setiap bulan berkaitan isu suami atau isteri yang curang dalam perkahwinan. - Gambar hiasan
BANYAK kes setiap bulan berkaitan isu suami atau isteri yang curang dalam perkahwinan. - Gambar hiasan

Senario itu menakutkan apatah lagi dengan kewujudan kumpulan sembang tertentu yang mempromosikan kegiatan tidak bermoral berkenaan.

Bermula sekadar mahu mencuba, kini semakin ramai yang sudah ketagih hingga sukar berhenti dan bertaubat.

Kata Hushim, kewujudan media sosial dan faktor kemodenan teknologi perhubungan, dunia semua di hujung jari antara sebab utama mengapa gejala sosial itu semakin menular dalam masyarakat.

Katanya, dengan hanya menyertai satu kumpulan di laman sosial atau memuat turun aplikasi tertentu, semua aktiviti haram itu boleh dilakukan tanpa halangan.

"Tidak memikirkan dosa, ramai pasangan suami isteri hari ini sudah tolak ke tepi soal halal haram semata-mata untuk kepuasan nafsu.

"Golongan ini juga tahu mengenai risiko jangkitan HIV, AIDS dan sifilis namun disebabkan sudah ketagih, semua itu dipandang sebelah mata.

"Mereka selamba melakukan dosa seolah-olah tiada apa, Nauzubillah, dunia sudah akhir zaman. Bertaubat sementara belum terlambat," katanya.

Sementara itu, Hushim berkata, gejala sosial berkenaan perlu dibendung kerana jika dibiarkan, dibimbangi menjadi amalan normal dalam masyarakat kelak.

Justeru katanya, ibu bapa perlu sentiasa memantau anak masing-masing kerana kes zina semakin berleluasa terutama dalam kalangan pelajar di peringkat pengajian tinggi.

"Berdasarkan kes yang pernah dirujuk juga, ada yang menjual diri kerana mahukan wang mudah atas alasan wang perbelanjaan daripada keluarga RM200 sebulan tidak cukup.

"Sedangkan dengan melayan beberapa jantan gersang, dia dapat memperoleh sehingga RM2,000 sebulan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 April 2024 @ 6:43 AM