GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Zatul Iffah Zolkiply dan Baharom Bakar
am@hmetro.com.my


Kuala Terengganu: Jumlah penagih wanita termasuk mereka yang melahirkan anak di Terengganu semakin membimbangkan susulan berlaku peningkatan sejak kebelakangan ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Wanita, Zuraida Md Noor berkata, situasi itu turut dibimbangi memberi komplikasi kepada tahap kesihatan bayi susulan pengambilan dadah oleh ibu mereka.

"Baru-baru ini, saya menerima maklumat daripada One Stop Crisis Center (OSCC) Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) bahawa bilangan wanita yang melahirkan anak dan didapati positif dadah semakin bertambah dan membarah seterusnya memberi kesan kepada kesihatan bayi yang dilahirkan.

"Kerajaan ada menubuhkan Darul Barakah sebagai Pusat Pemulihan Dadah secara holistik dan mencadangkan agar Darul Barakah ini menerima kemasukan penagih wanita," katanya ketika membahaskan titah ucapan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin pada Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-14 di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Zuraida berkata, kes keganasan rumah tangga di Terengganu turut menunjukkan peningkatan sejak pandemik Covid-19 apabila sebanyak 288 kes direkodkan tahun lalu berbanding hanya 215 kes pada 2019 berdasarkan rekod Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Katanya, berdasarkan rekod terkini yang diperoleh daripada OSCC HSNZ, terdapat sebanyak 114 kes membabitkan jenayah rogol, cabul, liwat serta penderaan rumah tangga dan kanak-kanak direkodkan dalam tempoh Januari hingga Ogos lalu berbanding 242 kes pada 2019 dan 217 kes pada tahun lalu.

"Apa yang merisaukan, kesedaran mangsa untuk melaporkan kejadian menimpa mereka masih berada pada tahap rendah kerana mangsa berhadapan dengan ugutan dan ancaman sekiranya membuat laporan dan demi menjaga maruah keluarga.

"Hal ini dibimbangi akan membawa kesan kepada kesihatan mental mangsa dan bakal memberi titik hitam sepanjang hidup mereka.

"Justeru, saya ingin mencadangkan agar kita mewujudkan pusat perlindungan sementara di premis sedia ada seperti mempelbagaikan fungsi masjid yang bersesuaian untuk menempatkan mangsa di bawah pemantauan PDRM dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)," katanya.

Katanya, pihaknya turut mencadangkan satu solusi segera supaya mangsa dapat dilindungi selain berharap semua pihak sentiasa menambah baik operasi dan modul terutama membabitkan aspek perlindungan dan kebajikan golongan kurang bernasib baik.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 September 2021 @ 8:46 PM