DR Abu Hassan  (kanan) memberi penerangan  kepada Dr Yohana (tengah) ketika melawat  Jabatan Kecemasan dan Trauma HKL,  semalam.
DR Abu Hassan (kanan) memberi penerangan kepada Dr Yohana (tengah) ketika melawat Jabatan Kecemasan dan Trauma HKL, semalam.

Kuala Lumpur: Operasi yang dilaksanakan Pusat Krisis Sepadu (OSCC) Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Kuala Lumpur (HKL) dalam usaha pemulihan dan pencegahan keganasan terhadap golongan wanita serta kanak-kanak mendapat perhatian negara serantau.

Ketua jabatan berkenaan, Prof Datuk Sri Dr Abu Hassan Asaari Abdullah berkata, Malaysia adalah negara pertama di dunia mempunyai pusat berkenaan dengan memastikan setiap mangsa yang terbabit mendapat perkhidmatan terbaik.

“OSCC memulakan perkhidmatan pada 1993 di HKL atas dasar kemanusiaan dan satu pusat yang mengambil kira kepentingan integriti keluarga.

“Setakat ini, negara seperti Bangladesh, Thailand, Sri Lanka, Filipina dan terbaharu Indonesia menjadikan OSCC sebagai rujukan mereka tangani kes penderaan terhadap wanita dan kanak-kanak,” katanya ketika lawatan kerja Menteri Pemberdayaan Perempuan dan Perlindungan Kanak-kanak Indonesia, Prof Dr Yohana Susana Yembise ke Jabatan Kecemasan dan Trauma HKL, di sini, semalam.

Menurut Dr Abu Hassan, kerjasama dengan Indonesia masih berada di peringkat perbincangan dan akan menggunakan konsep terbaharu menerusi penyelesaian di peringkat masyarakat seperti yang dilakukan oleh Norway.

“Maruah dan psikologi adalah antara perkara yang menjadi perhatian kami di OSCC. Bagi mengelakkan perpecahan keluarga dan masalah serius, kita akan cuba menyelesaikannya di peringkat masyarakat kerana ada juga pengadu yang tidak mahu membuat laporan.

“Kami menerima 50 kes sebulan dengan 60 peratus daripadanya membabitkan penderaan wanita, 30 peratus rogol dan selebihnya penderaan kanak-kanak,” katanya.

Sementara itu, Dr Yohana Susana berkata, pendekatan penyelesaian di peringkat masyarakat akan membabitkan komuniti khas yang memberi terapi dan membuat peraturan untuk melindungi wanita dan kanak-kanak.

“Di Indonesia, 73,000 kes keganasan berlaku dan modul ini akan diguna pakai bagi kes yang mampu diselesaikan tanpa merujuk kepada mahkamah.

“Sebagai contoh, kes rogol yang menyebabkan kehamilan. Jika kes diselesaikan di peringkat masyarakat dengan bukti jelas, kesanggupan si perogol untuk berkahwin bersama mangsa sudah tentu dapat menyelesaikan segala masalah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Disember 2015 @ 9:21 AM