RUHAINIES. FOTO Arkib NSTP
RUHAINIES. FOTO Arkib NSTP

Kuala Lumpur: Pelakon kontroversi, Ruhainies tampil memohon maaf kepada Bella Astillah atas segala kemelut yang berlaku membabitkan mereka.

Ruhainies dalam hantaran terbaru di Instagram Story turut menyatakan hasrat untuk bertemu empat mata dengan Bella yang juga isteri kepada Aliff Aziz bagi menjernihkan hubungan persahabatan mereka.

"Saya ingin memohon untuk bercakap beberapa perkara hari ini berhubung dengan isu yang sedang berlaku.

"Saya memilih untuk berdiam diri, bukan nak mengiyakan atau menidakkan, tetapi niat saya untuk mengelak daripada bergaduh di media sosial dan memanjangkan lagi isu terbabit.

"Justeru dengan rendah diri saya ingin memohon maaf kepada Bella atas segala yang berlaku. Saya ingin bertemu dengan anda untuk menjernihkan keadaan supaya kita boleh menutup kisah ini dan meneruskan kehidupan serta bergembira semula," tulisnya.

Dalam masa sama, Ruhainies turut ingin meminta maaf kepada semua pihak yang terbabit dan terkesan dengan isu yang tercetus.

"Saya juga dengan ikhlas ingin mengundang Sarah Yasmine (wanita didakwa kekasih Aliff) dalam pertemuan kami supaya kita boleh memperbetulkan semula keadaan yang berlaku dan menyelesaikan perkara ini.

"Saya sangat berharap Bella dan Sarah akan memberi saya peluang untuk bertemu dengan mereka. Dengan penuh keikhlasan saya ingin memohon maaf sekali lagi atas segala yang berlaku," katanya.

Sebelum ini Sarah mendedahkan beberapa perbualan romantis dan perancangan yang disusun Ruhainies bersama Aliff untuk menjatuhkan Bella di WhatsApp.

Menerusi pendedahan yang dikongsikan di Instagram Story itu, kedua-duanya juga dilihat saling mengutuk Bella dengan isu yang berlaku membabitkan mereka selepas insiden ditangkap khalwat pada awal Mac lalu.

Antara perbualan yang menarik perhatian adalah Ruhainies yang seolah-olah kurang senang apabila Bella dilantik sebagai wajah baru produk kecantikan yang sebelum ini melantiknya sebagai wajah produk itu.

Dalam perbualan itu juga, Aliff dan Ruhainies saling meluahkan kata-kata romantis seperti mengucapkan rasa rindu dan sayang.

Tidak hanya itu, mereka juga 'teguh' dalam mendepani ujian yang berlaku bersama-sama serta percaya dengan perancangan yang sudah disusun atur.

Pada masa sama, Sarah turut mendakwa Ruhainies seorang yang suka memanipulasi sehingga sanggup membiayai kos peguam untuk Aliff.

Sarah turut membangkitkan persoalan sama ada Ruhainies atau kekasihnya yang membayarkan kos peguam untuk Aliff itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 April 2024 @ 7:40 AM