GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Pengenalan Akaun Fleksibel Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) adalah satu daripada alternatif institusi itu untuk memenuhi keperluan dan dana kecemasan pencarum dalam mendepani cabaran menjalani kehidupan sebelum bersara.

Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Berhad, Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, KWSP merencanakan suatu agihan tepat dengan mengambil kira Akaun 1 atau Akaun Persaraan (AP) masih lagi mewakili kadar terbesar dalam hierarki akaun ahlinya.

"Ini bererti lebih daripada dua per tiga simpanan KWSP di dalam Akaun 3 akan memberi banyak ruang kepada pencarum untuk menggunakan simpanan mereka bagi apa-apa tujuan atau kecemasan," katanya kepada Bernama, semalam.

KWSP semalam mengumumkan inisiatif Penstrukturan Semula Akaun KWSP berkuat kuasa 11 Mei dengan memperkenalkan Akaun Fleksibel bagi keperluan kewangan jangka pendek.

KWSP dalam kenyataan memaklumkan inisiatif itu bertujuan menambah baik keselamatan pendapatan persaraan, di samping memenuhi keperluan kitaran hidup ahli apabila bermula tarikh itu, semua akaun ahli di bawah umur 55 tahun akan distruktur semula daripada dua akaun sebelum ini iaitu Akaun 1 dan Akaun 2 kepada tiga akaun.

Mohd Afzanizam menasihatkan kepada pencarum KWSP untuk melakukan perancangan teliti sebelum membuat keputusan untuk pengeluaran dengan mengambil kira faktor pengganda dalam simpanan mereka.

"Ini adalah kerana apabila mereka mengeluarkan wang berkenaan, ahli akan kehilangan faktor pengganda atau compounding factor dalam simpanan mereka di KWSP. KWSP dilihat sentiasa mengumumkan kadar dividen yang kompetitif dan compounding factor ini akan mempercepatkan pertumbuhan simpanan pencarum sekiranya mereka kekal menyimpan di institusi itu," katanya.

Selain itu, Pensyarah Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Pembangunan Sosial Universiti Malaysia Terengganu Prof Madya Dr Roshaiza Taha berkata, pelaksanaan Akaun 3 itu turut menguntungkan golongan M40 dan T20.

"Kita tahu sebahagian pendapatan golongan M40 dan T20 lebih tinggi. Sebagai contoh, dia punya pendapatan adalah RM10,000 dan dia punya caruman KWSP sebanyak 11 peratus, bersamaan RM1,100 dan berkemungkinan dia ada RM165 (di dalam Akaun 3). Bagi golongan B40 nilai akan jadi lebih rendah sekitar RM70 atau RM30," katanya.

Menurutnya, jika mereka yang berada dalam golongan B40 tidak cakna kewangan, berkemungkinan akan berdepan masalah pada tabung persaraan masa akan datang.

"Kerajaan perlu memainkan peranan untuk mendidik pencarum dalam menyalurkan sebahagian kecil pendapatan mereka kepada liquid investment (pelaburan mudah cair) kerana mereka masih lagi perlu dilindungi pada masa hadapan.

"Melihat keadaan semasa, saya tahu bahawa keupayaan rakyat Malaysia untuk meneruskan kelangsungan hidup sangat susah sehingga ada yang mengikat perut untuk makan. Akan tetapi, pencarum tetap perlu cakna mengenai keperluan dan kehendak mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 April 2024 @ 8:00 AM