MASALAH ekonomi dalam rumah tangga antara penyumbang kepada penderaan wanita.
MASALAH ekonomi dalam rumah tangga antara penyumbang kepada penderaan wanita.

Kuala Lumpur: Kes keganasan rumah tangga yang dirujuk ke Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Kuala Lumpur meningkat setiap bulan iaitu 30 peratus atau 150 kes.

Ketua jabatan itu, Prof Datuk Seri Dr Abu Hassan Asaari Abdullah berkata, kes itu dirujuk ke pusat khidmat bersepadu jabatan itu bagi tujuan pemeriksaan dan rawatan.

“Setiap hari ada kes. Jika dibandingkan dahulu hanya ada 10 hingga 20 kes. Kebanyakan kes yang dilaporkan adalah rogol, penderaan terhadap kanak-kanak, cabul dan liwat.

“Mangsa dibawa ke pusat khidmat bersepadu untuk rawatan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, antara punca yang menyebabkan kes berkenaan meningkat adalah masalah ekonomi dalam institusi keluarga, tekanan psikologi yang dialami pasangan suami isteri serta mekanisme menjalankan tanggungjawab dalam keluarga seperti penjagaan anak kecil.

Dr Abu Hassan berkata, masalah pengaruh alkohol dan dadah menjadi faktor utama menyebabkan wanita dan kanak-kanak menjadi mangsa keganasan dan penderaan.

“Seperti rogol, antara faktor menyebabkan kes itu berlaku sikap lelaki terhadap wanita, pengaruh pornografi, alkohol dan dadah, pergaulan bebas tanpa batasan, keruntuhan akhlak serta kurang pegangan agama,” katanya.

Beliau berkata, pusat khidmat bersepadu yang diwujudkan pada 1994 di bawah jabatan itu memberi rawatan dan khidmat psikologi kepada mangsa dengan kaedah rawatan yang holistik.

“Kami menjaga kepentingan mangsa dari segi psikologi dan maruah pesakit dan tidak mendedahkan kepada umum tempat rawatan dijalankan di jabatan itu bagi melindungi pesakit,” katanya.

Menurutnya, pusat itu menyediakan rawatan holistik dan memberikan kerjasama dengan pelbagai pihak antaranya Jabatan Kebajikan Masyarakat, polis serta unit forensik. — BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Julai 2016 @ 5:13 AM