SUMITRA mahu pendekatan secara holistik dalam menangani masalah keganasan rumah tangga serius.
SUMITRA mahu pendekatan secara holistik dalam menangani masalah keganasan rumah tangga serius.
Nurul Husna Mahmud
nurul_husna@hmetro.com.my

LEBIH 800,000 wanita yang mempunyai pasangan di Malaysia pernah atau sedang mengalami keganasan rumah tangga.

Senario kes keganasan berasaskan jantina itu membabitkan penderaan, keganasan rumah tangga, rogol dan cabul dikatakan semakin membimbangkan.

Melihat kepada situasi itu, Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) mewujudkan satu usaha untuk membantu menangani masalah itu menerusi Inisiatif Komuniti Selamat Bersepadu dengan kerjasama kerajaan peringkat negeri Selangor dan sokongan United Nations Population Funds (UNFPA) Malaysia.

Inisiatif berkenaan bermula di Kajang menerusi perkongsian amalan terbaik seterusnya akan menyebarluaskan inisiatif ini di semua kawasan di Selangor.

Menurut Pengarah Eksekutif WAO Sumitra Visvanathan, pihaknya melihat pendekatan holistik dengan pembabitan semua pihak dari sektor kesihatan, keadilan jenayah, hak asasi kanak-kanak dan wanita dan kebajikan serta komuniti setempat itu sendiri langkah pencegahan keganasan berasaskan jantina lebih berkesan.

"Ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dijalankan, WAO merekodkan peningkatan panggilan hotline sebanyak 148 peratus dan menyedari perlu ada usaha proaktif menjaga dan melindungi wanita dan kanak-kanak yang menjadi mangsa keganasan.

PERLU ada sokongan komuniti kepada wanita supaya mereka terbuka berkongsi.
PERLU ada sokongan komuniti kepada wanita supaya mereka terbuka berkongsi.

"Langkah penting bermula dengan pencegahan dan masyarakat perlu diberitahu mengenai peranan penting mereka dalam memecahkan kitaran keganasan rumah tangga dan mewujudkan komuniti selamat untuk setiap wanita dan kanak-kanak.

"Ia dapat dicapai menerusi pendidikan dan perkongsian maklumat supaya setiap ahli komuniti menjadi lebih peka dan bijak mengambil tindakan sewajarnya apabila berhadapan dengan kes keganasan rumah tangga," katanya.katanya.

Kata Sumitra, pengetahuan itu meliputi kesan keganasan rumah tangga ke atas sesebuah komuniti dan betapa kritikalnya setiap individu memikul tanggungjawab untuk bertindak termasuk mengenal pasti keganasan rumah tangga, memberi tindak balas yang sesuai selain merujuk mangsa kepada pihak tertentu boleh membantu serta melindungi mereka.

Dalam usaha memperkasakan masyarakat sebagai ejen penting dalam mencapai Komuniti Selamat, Sumitra melihat peranan pelbagai agensi kerajaan dan kepemimpinan wanita peringkat akar umbi sebagai usaha memudahkan pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) termasuk 'One Stop Crisis Centres' (OSCC) atau pusat khidmat krisis setempat membabitkan krisis keganasan rumah tangga itu.

"Cabaran dalam pelaksanaan Komuniti Selamat, OSCC masih belum menyeluruh dan tidak semua hospital terbabit dalam menjadi tempat rujukan kes keganasan rumah tangga.

AKTIVITI interaktif dalam memberi kefahaman jelas.
AKTIVITI interaktif dalam memberi kefahaman jelas.

PELBAGAI peringkat masyarakat mengikuti siri bengkel khas memberi kefahaman mengenai masalah keganasan rumah tangga.
PELBAGAI peringkat masyarakat mengikuti siri bengkel khas memberi kefahaman mengenai masalah keganasan rumah tangga.

"Pada peringkat Inisiatif Komuniti Selamat kami mengisi ruang lompong dengan menyertakan semua pihak penting dalam satu ekosistem bersepadu dan bersistematik termasuk baru-baru ini bersama kerajaan Selangor," katanya.

Sementara itu Exco Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita & Keluarga Kerajaan Negeri Selangor Dr Siti Mariah Mahmud berkata, Projek Komuniti Selamat Bersepadu ini selaras dengan Dasar Wanita Selangor dan Pelan Tindakan 2017-2020.

"Projek Komuniti Selamat Bersepadu (KSB) ini sudah setahun bergerak sejak Oktober 2020, bermula di empat daerah iaitu Kuala Selangor, Klang, Hulu Selangor dan Petaling.

"Inisiatif itu akan diteruskan di empat daerah baharu iaitu Kajang antara terawal dengan menyasarkan pelbagai lapisan masyarakat dalam penyertaan usaha mencegah dan bertindak balas kepada keganasan rumah tangga.

"Kerajaan negeri gembira dapat terus bekerjasama dengan WAO dalam melatih pasukan pemimpin akar umbi dalam komuniti (PWB dan PBT) di setiap daerah sebagai asas TeamTINA (Think I NeedAid)," katanya.

KETIKA pelancaran Inisiatif Komuniti Selamat Bersepadu di Kajang baru-baru ini.
KETIKA pelancaran Inisiatif Komuniti Selamat Bersepadu di Kajang baru-baru ini.

Menjelaskan, TeamTINA adalah tulang belakang merancang Tindakan Komuniti Selamat Bersepadu dalam komuniti dan menyokong dalam menjalankan program mengikut keperluan rakyat setempat termasuk penempatan selamat buat mangsa keganasan rumah tangga.

Tambah Dr Siti Mariah lagi, dengan adanya anggota masyarakat mempunyai pengetahuan dan tahu mengendalikan masalah keganasan rumah tangga, mangsa akan mempunyai sokongan sosial baik.

"Bayangkan jika setiap mangsa wanita atau kanak-kanak berasakan ada orang yang terdekat, sedia dan berpengetahuan menolong mereka dalam masa kesusahan, mereka tidak takut menyuarakan masalah itu.

"Kesimpulannya jangan hanya jadi pemerhati, jadilah komuniti berupaya Kenal, Kendali dan Kaitkan (3K) diri dalam membantu mangsa keganasan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Oktober 2020 @ 7:00 AM