PERCUTIAN ketika musim panas memberi tempoh lebih panjang menjelajah United Kingdom.
PERCUTIAN ketika musim panas memberi tempoh lebih panjang menjelajah United Kingdom.
Nor Idayu Ayop


Situasi paling melucukan ketika penulis bercuti ke England dan Scotland bersama rakan sekerja pada Jun lalu adalah 'peristiwa' kami mencari beg tangan.

Cerita awalnya, rakan membeli satu beg tangan 'Radley' di Liverpool dan ketika di kedai penulis tidak nampak beg itu menarik.

Tetapi sebaik pulang di inap desa, kami membelek semula barangan yang dibeli, ternampak pula beg tangan Radley milik rakan. Mulalah tidak keruan sebab kali ini nampak cantik!

Bayangkan hanya kerana beg tangan, kami sanggup menapak lebih 30,000 langkah dan meredah sehingga ke pinggir kota untuk mencari beg Radley yang sama.

Ketika pencarian beg itu juga, kami 'terperangkap' dalam perhimpunan yang disertai golongan lesbian, gay, biseksual, dan transeksual (LGBT). Rasa lucu dan cemas silih berganti, tetapi itu antara pengalaman tidak boleh dilupakan sepanjang 15 hari di bumi Eropah.

Perjalanan penulis juga disertai suami. Malah kami tiba dua hari awal untuk menyusun perjalanan selain menggunakan penerbangan terus ke London dari Kuala Lumpur.

Sementara bagi perjalanan untuk ke Edinburgh iaitu ibu negeri Scotland pula, kami memutuskan untuk menjelajah dari London ke Edinburgh dengan memandu kereta.

Jarak Edinburgh dari London menggunakan kereta memakan masa kira-kira lapan jam dan ia antara kaedah mengembara yang terbaik untuk melawat England serta Scotland.

Untuk pengetahuan umum, England dan Scotland berkongsi sempadan darat di bahagian selatan. Scotland juga sebahagian daripada United Kingdom (UK).

Di UK hanya memerlukan lesen memandu Malaysia, tetapi perlu ambil insurans tambahan jika bertukar-tukar pemandu.

Pesanan penting terutama mereka yang berhasrat untuk menjelajah negara monarki itu perlu memandu mengikut had laju ditetapkan.

ANTARA pemandangan dirakam ketika jelajah dari London ke Scotland.
ANTARA pemandangan dirakam ketika jelajah dari London ke Scotland.

Kamera perangkap had laju sangat banyak sepanjang perjalanan. Lebuh raya tiada tol dan jalan raya pun dalam keadaan baik.

Namun, insiden malang menimpa ketika kami berada di Manchester apabila seorang rakan mengalami kemalangan dan perlu menukar kereta.

Masa menunggu kereta baharu juga lama kerana terdapat proses dokumen dan penghantaran kereta sebelum perjalanan kami bermula.

Sebenarnya untuk destinasi England dan Scotland, keunikannya terletak pada keindahan semula jadi dan seni bina bangunan lama.

Antara yang tersohor, anda boleh melawat Costworld iaitu perkampungan lama yang cantik.

Bukan saja memaparkan kekayaan seni bina dan landskap tempatan, malah destinasi ini antara kawasan dilindungi disebabkan khazanah berkenaan.

Binaan bangunannya juga sangat bercirikan tempatan apabila menggunakan batu semula jadi daripada hasil bumi mereka.

Ketika kunjungan ke sana, saya dan rakan mengenakan baju kurung untuk disesuaikan dengan latar dan persekitaran. Kami merakam momen itu sebagai kenangan apabila pulang nanti.

Destinasi paling disukai ketika berada di Scotland tentu sahaja Old Town Edinburgh. Destinasi ini sesuai buat pencinta seni bina apabila segenap kota lama itu banyak binaan yang menarik.

Kami sanggup bertolak seawal seusai Subuh bagi membolehkan kami meninjau segenap kota apatah lagi kelebihan ketika percutian pada musim panas, waktu siang lebih panjang. Kelebihan lain juga kami tidak perlu bayar parkir keran ia hanya dicaj selepas 9 pagi.

PENULIS dan suami ketika di Dean Village.
PENULIS dan suami ketika di Dean Village.

Malah kami juga singgah sekejap di Dean Village untuk menikmati pemandangan yang indah. Berlatarkan bangunan kolonial dan aliran sungai, suasana segenap kampung itu tidak ubah seperti foto yang dilihat dalam poskad.

Sementara itu, pengalaman di Fort William iaitu kawasan tasik yang sangat tenang dengan istana lama, Urqurhuat Castle masih tegap bertahan di atas bukit memberi dasar pandangan seolah-olah berada dalam adegan filem lama.

 ISTANA di atas bukit antara imej sering ditonton peminat siri legenda Inggeris.
ISTANA di atas bukit antara imej sering ditonton peminat siri legenda Inggeris.

Kami terbuai-buai dengan tiupan angin yang nyaman ketika berada di kawasan istana berkenaan. Satu lagi legenda di kawasan terbabit adalah kisah Loch Ness iaitu raksasa yang menghuni tasik masih menjadi misteri dan bualan baik penduduk tempatan mahupun peminat kisah raksasa itu.

Selain lokasi tarikan terbabit, kami juga sempat mengunjungi destinasi popular lain seperti stadium dan galeri ketika di Manchester dan Liverpool.

STADIUM dan galeri kelab bola sepak Liverpool turut menjadi persinggahan.
STADIUM dan galeri kelab bola sepak Liverpool turut menjadi persinggahan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Oktober 2022 @ 7:00 AM