AKTIVITI pendakian fiord antara tarikan pelancong di Greenland.
AKTIVITI pendakian fiord antara tarikan pelancong di Greenland.
Ayu Hasman


AKTIVITI pendakian di fiord (fjord) antara tarikan pelancong di Greenland. Menggunakan khidmat jurupandu tempatan, penulis dan rakan turut melakukan aktiviti pendakian di fiord berhampiran dengan jarak keseluruhan sejauh 36 kilometer.

Kami bermula seawal jam 9 pagi, selepas solat Subuh dan mengikut perancangan asal, aktiviti pendakian itu sepatutnya selesai dalam tempoh antara empat hingga lima jam sahaja.

Namun, akibat terlalu 'ralit' dengan pemandangan indah, penulis dan rakan hampir terperangkap dalam kesejukan malam yang pada ketika itu mencecah -30 darjah Celsius.

Berbekalkan lampu suluh daripada telefon bimbit, kami meneruskan pendakian dan memandangkan hari semakin gelap, jurupandu arah turut menasihatkan supaya mempercepatkan langkah selain memendekkan jarak perjalanan dengan merentas tasik beku.

Ia bukan mudah dan agak mencabar apabila terpaksa berjalan di atas tasik yang beku kerana permukaan tasik licin dan penulis sendiri hampir terjatuh beberapa kali.

EKSPEDISI makan masa 10 jam sehingga ada buat laporan polis kerana mengandaikan penulis, rakan  sudah hilang.
EKSPEDISI makan masa 10 jam sehingga ada buat laporan polis kerana mengandaikan penulis, rakan sudah hilang.

Pendakian yang sepatutnya tamat awal tapi memakan masa hampir 10 jam dan yang tinggal di dalam beg hanyalah beberapa bungkus biskut serta coklat.

Berjalan dalam keadaan cuaca sejuk beku ketika gelap dengan perut lapar adalah sesuatu yang mencabar.

Melihat raut wajah kami yang kelihatan keletihan, jurupandu menasihatkan supaya berhenti di atas tasik itu untuk berehat seketika.

Sambil berehat, kami ternampak seekor ikan terperangkap dalam tasik yang membeku selain terdengar seakan-akan bunyi serigala sahut-menyahut.

KENDERAAN yang dinaiki penulis dan rakan.
KENDERAAN yang dinaiki penulis dan rakan.

Perasaan risau memaksa kami segera mengajak jurupandu meneruskan pendakian meskipun masih keletihan.

Di hujung tasik kelihatan samar-samar cahaya lampu dan ia menandakan lokasi akhir pendakian.

Alhamdulillah, dengan sisa kudrat yang ada, kami akhirnya tiba di lokasi akhir pendakian kira-kira jam 7 malam dan keadaan ketika itu gelap gelita seperti tengah malam.

Namun, setibanya kami di rumah tumpangan keadaan menjadi riuh seketika kerana pengurus (rumah tumpangan) dan beberapa penghuni yang lain hampir membuat laporan polis kerana mengandaikan kami sudah hilang.

Mereka sebelum itu mencari penulis dan rakan di sekitar lapangan terbang dan pasar raya berhampiran.

PEMANDU arah berkongsi minuman panas.
PEMANDU arah berkongsi minuman panas.

Masya-Allah, memang tidak terjangkau dek akal mengenangkan betapa prihatinnya masyarakat di sini.

Selepas menceritakan serba sedikit pengalaman hampir terkandas di fiord, mereka tidak berhenti mengucapkan rasa syukur kerana tiada kejadiaan yang tidak diingini berlaku.

Untuk makluman pembaca, selain memburu aurora dan mendaki di kawasan fiord, aktiviti lain yang boleh dilakukan di Kangerlussuaq adalah 'glacier trekking.'

Penulis dan rakan juga berkesempatan melakukan 'glacier trekking' ke sebuah kawasan dataran glasier yang dinamakan 'Russell Glacier.'

 TASIK yang membeku.
TASIK yang membeku.

Russel Glacier adalah kesinambungan lapisan ais Greenland utara dan ia masih aktif serta bergerak sejauh 25 meter (82 kaki) setiap tahun.

Disebabkan glasier itu mudah diakses dari daratan, ia menjadikannya destinasi popular dalam kalangan pelancong.

Menurut jurupandu, setiap hari semakin banyak glasier yang runtuh dan mencair.

Kawasan yang dulunya sebuah dataran kini bertukar menjadi 'sungai glasier' dan keadaan itu berlaku disebabkan pemanasan global yang kini semakin tidak terkawal.

ABADI kenangan bersama pemandu
ABADI kenangan bersama pemandu

Ia sekali gus menyebabkan paras air laut meningkat dan mengganggu ekosistem asal.

Perubahan ekosistem itu turut menandakan bumi semakin tua dan tenat.

Selesai trekking, kami berhenti di sebuah pasar raya untuk membeli bahan memasak memandangkan tiada restoran halal di Kangerlussuaq.

Kami membeli bahan mentah seperti salmon beku dan memasak pelbagai masakan yang mudah.

RUSSEL Glacier.
RUSSEL Glacier.

Bagi penulis, apabila mengembara ke destinasi yang majoriti penduduknya bukan Muslim adalah lebih baik kita memilih penginapan yang mempunyai kelengkapan memasak.

Disebabkan kos sara hidup yang tinggi, penulis dan rakan hanya berkesempatan merasai pengalaman mengembara di bumi Greenland selama empat hari.

Walaupun hanya seketika, pengalaman yang diperoleh sepanjang empat hari di bumi Artik itu cukup berharga dan begitu bermakna.

Kepada Allah SWT penulis panjat doa semoga direzekikan lagi untuk ke kembali ke Greenland selepas berakhirnya pandemik ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Mac 2021 @ 6:30 AM