TASIK air masin Great Salt Lake destinasi pelancongan cukup popular di Salt Lake City selain lokasi bermain ski.
TASIK air masin Great Salt Lake destinasi pelancongan cukup popular di Salt Lake City selain lokasi bermain ski.
Hafiz Ithnin


USAI menerokai Taman Negara Zion, penulis meneruskan perjalanan ke Salt Lake City di Utah, Amerika Syarikat.

Memandu lebih empat jam ke destinasi itu mata tidak mampu untuk terlelap kerana keindahan alam semula jadi di kiri dan kanan lebuh raya nyata mengasyikkan.

Antaranya, panorama gunung yang masih berais di atasnya walaupun ketika penulis mengembara sudah hampir menuju penamat musim sejuk.

Kadangkala ketika memandu terasa berada di dalam sebuah lukisan kerana pemandangannya yang sungguh memukau.

Sebenarnya Salt Lake City adalah destinasi terakhir penulis selama beberapa minggu di Utah yang cukup terkenal sebagai destinasi alam semula jadi yang unik.

Di Salt Lake City, bagi mereka yang gemarkan aktiviti bermain ski sudah tentu menjadi destinasi tumpuan kerana terdapat resort ski di kawasan itu.

Namun, keberadaan penulis di Salt Lake City tidaklah begitu lama, hanya tiga hari dua malam sebelum berangkat pulang ke Kota New York.

Sebaik hampir tiba di bandar itu, penulis dihidangkan sekali lagi dengan deretan gunung berais. Berada saja di bandarnya membawa penulis bagaikan berada di dalam lembah gunung ais.

LOKASI menempatkan bot persiaran di Great Salt Lake.
LOKASI menempatkan bot persiaran di Great Salt Lake.

PENGUNJUNG boleh berkhemah di Great Salt Lake.
PENGUNJUNG boleh berkhemah di Great Salt Lake.

PENCERITAAN mengenai Great Salt Lake di dalam pusat pelancongan.
PENCERITAAN mengenai Great Salt Lake di dalam pusat pelancongan.

Keadaan di Salt Lake City tidaklah begitu sibuk seperti di Kota New York, Chicago atau Boston. Meskipun begitu, pengangkutan awamnya seperti kereta api komuter, bas dan kereta api ringan begitu mudah didapati.

Jadi, sekiranya malas untuk berjalan kaki menerokai bandar itu, boleh sahaja menggunakan pengangkutan awam yang disediakan.

Di sini juga terdapat banyak hotel yang menawarkan pelbagai jenis harga mengikut kemampuan pengunjung. Bagi yang inginkan pemandangan pergunungan pastinya harga yang ditawarkan sedikit tinggi.

Daripada segi mendapatkan makanan halal juga tidak sukar di sini kerana terdapat beberapa restoran yang terkenal menyajikan hidangan halal.

Di Salt Lake City selain destinasi bermain ski, sudah pasti tasik air masin iaitu Great Salt Lake menjadi destinasi pelancongan yang cukup popular.

Ia terletak kira-kira 20 hingga 30 minit memandu dari pusat bandar. Untuk masuk ke kawasan itu, sebuah kenderaan dikenakan caj bayaran $AS5.

Great Salt Lake adalah sebuah tasik air masin yang cukup besar dengan saiz 4,400 kilometer persegi dan menjadi kawasan beriadah bagi pengunjung.

KAWASAN bandar di Salt Lake City yang tidak sibuk.
KAWASAN bandar di Salt Lake City yang tidak sibuk.

ANTARA restoran halal yang boleh dikunjungi di Salt Lake City.
ANTARA restoran halal yang boleh dikunjungi di Salt Lake City.

Bagi mereka yang ingin bermandi-manda di tasik berkenaan juga dibenarkan, tetapi begitu jarang orang berbuat demikian kerana ia mempunyai tahap kemasinan yang tinggi serta airnya juga agak berbau.

Namun, daripada segi pemandangan untuk merakam foto tidak dapat dinafikan begitu cantik kerana ia berada di dalam lembah pergunungan.

Airnya pula berwarna biru pekat dan terdapat banyak lokasi menarik untuk merakam memori menggunakan kamera di sini.

Di sini juga terdapat pusat pelancong yang menceritakan mengenai sejarah Great Salt Lake dan tarikan aktiviti yang boleh dilakukan.

Bagi penulis, berada di Salt Lake City adalah pengalaman yang menarik kerana ia sebuah bandar yang tidak sibuk. Malah, pemandangan di sekelilingnya nyata amat mendamaikan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Mei 2022 @ 7:00 AM