TASIK Como yang menenangkan.
TASIK Como yang menenangkan.
Roslina Japar
rencana@hmetro.com.my

SEBELUM ini penulis hanya mendengar mengenai kehebatan Empayar Rom dalam buku teks sekolah sahaja. Namun, siapa sangka penulis berpeluang untuk berkunjung ke Itali pada Disember 2019.

Selepas menempuh perjalanan dari Kuala Lumpur, pada hari pertama penulis bersama seorang rakan menginap di ibu kota Itali iaitu Milan.

Milan antara kota raya yang sibuk. Kita dapat melihat ramai pelancong luar negara memenuhi kota raya ini.

Penulis terpegun dengan seni bina bangunan sepanjang perjalanan dari Lapangan Terbang Malpensa ke hotel penginapan yang berhampiran dengan Milano Centrale Station iaitu pusat kereta api utama di kota raya itu.

Di Milan, antara tempat unik dikunjungi ialah Katedral Milan (Duomo Di Milano) yang terkenal di pusat bandar raya Milan. Ia juga dikatakan salah satu katedral terbesar di dunia yang mula dibina sejak 1386.

Bersebelahan Katedral Milan terdapat pusat beli-belah Galleria Vittorio Emanuele II yang menjual pelbagai barang berjenama seperti Prada, Gucci, Dior, Channel dan pelbagai jenama mewah lain.

PENULIS menikmati keindahan Tasik Como, bandar Colico.
PENULIS menikmati keindahan Tasik Como, bandar Colico.

Penulis turut mengunjungi Istana Sforza atau dalam bahasa Itali dikenali sebagai Castello Sforzesco yang dibina pada abad ke-14.

Namun, siapa sangka dalam keseronokan menikmati keindahan seni bina bangunan di sini, penulis dan rakan berdepan pengalaman yang sukar dilupakan apabila beg rakan dicuri penyeluk saku di bandar raya Milan.

Ketika penulis ingin menaiki kereta api Metro, secara tiba-tiba kami didatangi dua gadis yang ingin bertanya tempat, namun mereka bercakap dalam bahasa Itali.

Pada ketika itu, kami sudah berasa curiga dan memegang erat beg sekuat mungkin dan tidak melayan mereka.

Sebaik sahaja kereta api berhenti di destinasi seterusnya, kami didatangi seorang lelaki yang memberi amaran supaya lebih berhati-hati dan pada ketika itu juga rakan penulis baharu 'tersedar' dompet dalam beg silang sudah hilang.

Kami cuba mengejar dua gadis terbabit, namun mereka melarikan diri dengan memasuki kereta api semula.

Selepas pemeriksaan dilakukan, rakan penulis kehilangan kad kredit, kad bank dan wang tunai berjumlah 300 euro.

Kejadian itu menjadi pengajaran berguna kepada kami supaya lebih berhati-hati dengan tidak membawa wang tunai dalam jumlah yang banyak.

SUASANA dalam Galleria Vittorio Emanuele II.
SUASANA dalam Galleria Vittorio Emanuele II.

Kami kemudian ke bandar Como dengan menaiki bas dari Milan dengan perjalanan kira-kira sejam 30 minit.

Penulis menaiki kereta api kecil ke kawasan tinggi di bandar Como iaitu Brunate. Rel kereta api ini menghubungkan bandar Como dan perkampungan Brunate dan sering digunakan pelancong dan penduduk sekitar.

Penulis juga mengunjungi kawasan luar bandar Itali yang agak jarang dilawati pengunjung Malaysia iaitu Stresa dan Colico.

Stresa terletak kira-kira sejam perjalanan kereta api dari Stesen Sentral Milan dan ia adalah sebuah pekan kecil yang memiliki pemandangan pergunungan yang cantik di sekitar Tasik Maggiore.

Penulis mengunjungi salah sebuah Pulau Borromean iaitu Isola Bella yang hanya terletak kira-kira 15 minit perjalanan dengan menaiki bot dari jeti Stresa.

Kejernihan air tasik dengan pemandangan bukit di sekeliling kawasan ini sangat menyamankan.

Di Isola Bella, terdapat rumah dan kedai barangan yang menjual cenderahati, pakaian dan aksesori barangan kulit yang cantik dengan harga berpatutan.

Seterusnya, perjalanan diteruskan ke Colico di Wilayah Lecco, Lombardy, Itali mengambil masa satu jam 30 minit dari Milan.

BANDAR Colico yang mendamaikan.
BANDAR Colico yang mendamaikan.

Pemandangan di Colico sangat indah dengan dikelilingi Tasik Como dan pemandangan pergunungan yang cantik.

Keadaan di sini agak tenang dan tidak ramai orang seperti di Milan. Penulis mengunjungi kawasan rekreasi ski yang berdekatan, namun pada ketika itu ia ditutup sementara dan penulis hanya menghabiskan masa melihat pemandangan salji di kawasan pergunungan ini.

Tidak dinafikan suasana di sini sangat mendamaikan tanpa kesibukan kota. Penulis menghabiskan masa dengan melawat sekitar pekan kecil ini dan merasa makanan di sini.

Percutian ini agak bermakna buat penulis dan tidak disangka sebaik sahaja kembali ke Malaysia, kita dikejutkan dengan pandemik Covid-19 yang turut melanda Itali dengan teruknya.

Penulis bersyukur kerana sepanjang percutian tidak berdepan masalah kesihatan dan berharap selepas pandemik ini, masih berpeluang untuk mengunjungi negara lain.

GERAI di bandar Como.
GERAI di bandar Como.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 September 2021 @ 7:00 AM