NIK Airina (empat dari kiri) dan Azrul (empat dari kanan) bertukar dokumen selepas menandatangani perjanjian kerjasama membangunkan Stesen Super Hibrid pertama di lebuh raya.
NIK Airina (empat dari kiri) dan Azrul (empat dari kanan) bertukar dokumen selepas menandatangani perjanjian kerjasama membangunkan Stesen Super Hibrid pertama di lebuh raya.

Kuala Lumpur: PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menandatangani Memorandum Persefahaman dengan Petronas Dagangan Berhad untuk menjalinkan kerjasama membangunkan stesen hibrid komersial yang pertama di lebuh raya Malaysia.

Kerjasama kedua-dua pendahulu industri lebuh raya dan sektor peruncitan tenaga bakal menyaksikan pembukaan Stesen Super Hibrid atau 'Hybrid Super Station' yang pertama.

Ia akan menjadi penanda aras perkhidmatan lebuh raya di negara ini dan memberikan lebih keselesaan dan pilihan kepada pengguna.

Pengarah Urusan PLUS, Datuk Nik Airina Nik Jaffar berkata, sebagai pengendali lebuh raya utama di Malaysia dan rakan strategik negara, PLUS komited untuk menghubungkan komuniti bagi mencorakkan masa hadapan yang selamat dan lestari.

"PLUS dengan sokongan Kementerian Kerja Raya (KKR), Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan pemain industri utama memainkan peranan dalam mengintegrasikan prinsip inovatif dalam operasi kami untuk membangunkan ekosistem lebuh raya pintar dan lestari.

"Pembangunan Stesen Super Hibrid ini akan memacu pelaksanaan Pelan Pembangunan Mobiliti Rendah Karbon negara.

"Selain itu, ia juga dapat memperluas kemudahan perkhidmatan mobiliti kami bagi menambahbaik pengalaman pengguna lebuh raya, di samping memberi peluang kepada mereka untuk menikmati amalan kelestarian sepanjang perjalanan mereka," katanya dalam kenyataan.

Stesen Super Hibrid yang bakal diwujudkan di lebuh raya ini menyediakan perkhidmatan mobiliti menyeluruh seperti stesen petrol dan diesel berskala besar termasuklah stesen pengecasan pantas (DCFC) untuk pengguna kenderaan elektrik (EV).

Selain itu, ia turut menyediakan kemudahan awam lebih selesa, perkhidmatan runcit serta ruang makanan seperti gerai makan, kafe dan restoran.

Sementara itu, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Dagangan, Azrul Osman Rani berkata, pihaknya sentiasa meneroka peluang untuk menambah baik pengalaman pelanggan selari dengan komitmen syarikat untuk menjadikan kehidupan lebih mudah dan bermanfaat.

"Setiap touch point Stesen Super Hibrid ini akan direka bentuk dengan mengambil kira trend serta keperluan pelanggan.

"Kami yakin kolaborasi antara Petronas Dagangan dan PLUS akan meningkatkan keselesaan, kemudahan dan inovasi berfokuskan pelanggan, yang akan mengubah pengalaman pelanggan di lebuh raya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Julai 2024 @ 7:59 AM