LEBIH 200,000 pengunjung ke MAS 2024.
LEBIH 200,000 pengunjung ke MAS 2024.
Lizam Ridzuan


Pameran Automotif Malaysia (MAS 2024) melabuhkan tirainya baru-baru ini bukan sahaja meluaskan lagi pasaran kenderaan di negara ini malah memacu ke arah perkembangan teknologi terkini.

Menerima lebih 224,000 pengunjung selama enam hari acara berlangsung di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (Maeps), Serdang, ia juga mencatatkan peningkatan 17 peratus daripada jumlah kehadiran tahun lalu.

Menerusi acara ini juga terdapat lebih RM1.4 bilion potensi jualan berjaya dicatatkan selain 2,620 tempahan kenderaan baharu dan 13,799 jualan pada edisi kali ini.

MAS 2024 juga sebagai lokasi terbaik untuk lebih 47 pelancaran model kenderaan dan motosikal baharu dilakukan di sana selain terdapat lebih 6,300 sesi pandu uji dan tunggang uji kepada pengunjung yang hadir termasuk cabaran laluan lasak 4X4.

Untuk tahun ini laluan pandu uji juga ditambah menjadi 18 kilometer untuk menawarkan lebih pengalaman pemanduan kepada bakal pembeli.

Bukan sekadar pameran meliputi kenderaan enjin pembakaran dalaman (ICE), ia juga dengan kenderaan elektrik (EV), modifikasi, demonstrasi pemanduan autonomi, pameran kereta klasik, campervan dan kenderaan ketenteraan juga dipamerkan.

ANTARA SUV terbaharu dipamerkan.
ANTARA SUV terbaharu dipamerkan.

ZAFRUL (tengah) merasmikan MAS 2024.
ZAFRUL (tengah) merasmikan MAS 2024.

MEMPAMERKAN model terkini.
MEMPAMERKAN model terkini.

PAMERAN juga berkaitan teknologi.
PAMERAN juga berkaitan teknologi.

Paling mencuri tumpuan lebih 50 peratus kereta yang dipamerkan kali ini adalah EV yang juga seiring dengan Dasar Automotif Negara (NAP 2020) dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) ke arah teknologi hijau dan efisien.

MAS2024 dirasmikan oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan Dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Sepanjang acara itu, beberapa forum dan sidang kemuncak penting juga diadakan termasuk Sidang Kemuncak Automotif Malaysia-China Ke-50, Forum Alam Sekitar Automotif Asian (AAEF) ke-13, Anugerah Grand Prix MyMAP 2024 dan acara Forum Perniagaan dan Padanan Perniagaan.

Program ini menarik delegasi antarabangsa dari negara seperti Australia, Belgium, England, Indonesia, Jepun, China dan Korea, memperkayakan pemahaman tentang landskap automotif yang berkembang.

Pameran Automotif Malaysia mula dianjurkan pada 2015 yang diadakan Pusat Konvensyen dan Pameran Antarabangsa Mines sebelum bertukar lokasi di Maeps, Serdang sejak 2017 sehingga kini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Jun 2024 @ 6:49 AM