PELANCARAN jenama premium di Dewan A1.
PELANCARAN jenama premium di Dewan A1.
Lizam Ridzuan


BARU-BARU ini, berlangsung Pameran Auto Malaysia (Malaysia Autoshow 2023-MAS 2023) di Maeps di Serdang, Selangor membabitkan penyertaan lebih 80 jenama, selain pameran lebih 300 kenderaan baharu.

Bertemakan 'Mobility Redefined', ia pameran automotif terbesar di Malaysia.

Edisi MAS 2023 yang juga kali keenam diadakan sejak 2015 dianjurkan Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii).

Ia dirasmikan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (Miti) Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Hadir sama Timbalan Ketua Setiausaha Miti Datuk Hanafi Sakri, Pengerusi MARii Datuk Phang Ah Tong dan Ketua Pegawai Eksekutif MARii Azrul Reza Aziz.

MAS 2023 yang diadakan selama empat hari dilkunjungi lebih 191,000 pelawat.

Di Dewan A, pelbagai model terbaharu dalam pasaran dipamerkan seperti Perodua, Proton, Toyota, Honda, Nissan, GWM, Haval, Chery, Hyundai, Kia selain Petronas dan EON (Mitsubishi, Audi).

Untuk Dewan A1 pula, ia menempatkan jenama premium seperti BMW, MINI, Mercedes-Benz, Lotus dan Bufori.

Dewan C pula khusus untuk motosikal. Antaranya Suzuki, Vespa, Royal Enfield, Aprilia, Kawasaki, Modenas, KTM, CF Moto dan WMoto.

Tumpuan utama sudah pasti di Dewan D yang mengumpulkan semua model kenderaan elektrik (EV) ditawarkan di negara ini seperti Volvo, Ora Good Cat, BYD, Peugeot, Go Auto dan Higer serta yang terbaharu, Neta.

Pameran motosikal EV juga turut mencuri tumpuan seperti Yadea, Superlux serta Blueshark.

RERUAI Honda Malaysia.
RERUAI Honda Malaysia.

ZAFRUL (tengah) ketika majlis pelancaran dan hari media MAS 2023.
ZAFRUL (tengah) ketika majlis pelancaran dan hari media MAS 2023.

PETRONAS mempamerkan jentera F1.
PETRONAS mempamerkan jentera F1.

SKUTER EV terbaharu dengan Superlux.
SKUTER EV terbaharu dengan Superlux.

PAMERAN motosikal di Dewan C.
PAMERAN motosikal di Dewan C.

Selain pengeluar tempatan (OEM), ia turut membabitkan penyedia sistem pengecasan EV.

Ia sebagai melengkapi ekosistem EV di negara ini yang bakal menjadi pilihan utama pembeli kenderaan pada masa akan datang.

Selain pameran, pengunjung berpeluang memandu uji model terbaharu dalam kawasan Maeps sejauh 4.5 kilometer (km).

Malah, litar uji motosikal turut disediakan.

Bagi memeriahkan MAS 2023, turut diadakan acara AutoFest dengan tema automotif untuk e-sukan, pasar lambak dan kendera saji, selain konsert menerusi SoundValley Festival 2023.

Tambah meriah, kehadiran konvoi kelab kereta, motosikal serta pelbagai aktiviti untuk keluarga.

Secara keseluruhan, penganjuran MAS 2023 seiring dengan hala tuju kerajaan untuk memanfaatkan keupayaan negara sebagai antara hab pembuatan elektrik dan elektronik (E&E).

Ia bagi menyediakan perkhidmatan menyeluruh kepada segmen Kenderaan Generasi Baharu (NxGV) yang semakin mendapat permintaan di seluruh dunia termasuk Malaysia.

Menerusi pameran kali ini, pengunjung berpeluang melihat lebih dekat model EV ditawarkan, selain mendapat maklumat lebih tepat berkaitan penggunaan serta sistem pengecasan EV yang disediakan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Mei 2023 @ 6:51 AM