MG4.
MG4.
MG ZS.
MG ZS.
Lizam Ridzuan


Kuala Lumpur: SAIC Motor Malaysia sebagai pengedar utama kenderaan Morris Garages (MG) di negara ini, hari ini, melancarkan dua model iaitu MG4 EV dan MG ZS EV Serba baharu ke pasaran tempatan.

Pengarah Urusannya, Steven Du berkata, dua model itu hatchback MG4 dan kenderaan utiliti sukan (SUV) MG ZS adalah kenderaan elektrik (EV) bagi menawarkan mobilti sifar emisi.

"Kedua-dua model ini menawarkan perjalanan yang menarik menerusi kuasa elektrik dan prestasi untuk SUV dengan ciri praktikal, inovasi dan keselesaan pada pakej harga mampu milik untuk pasaran EV di Malaysia," katanya ketika pelancaran di sini.

Beliau berkata, sebanyak 200 unit model pertama sudah sampai di Malaysia, manakala 200 lagi dalam perjalanan dari kilang pemasangan MG di China

"90 peratus daripadanya adalah model MG4 dan 10 peratus untuk MG ZS," katanya.

Dalam pada itu, Du berkata, buat masa ini, sudah terdapat lapan pusat jualan MG yang bakal disiapkan menjelang akhir bulan ini dan pihaknya menyasarkan 25 pusat jualan sudah sedia menjelang suku ketiga 2024 di seluruh negara.

Mengenai perancangan lain, beliau berkata, SAIC Motor Malaysia akan memperkenalkan model pembakaran dalaman (ICE) MG pada tahun ini.

Selain itu, pihaknya dalam perbincangan dengan beberapa pihak berkepentingan untuk melaksanakan proses pemasangan tempatan (CKD) untuk model MG.

Selain rekaan luaran menarik, model MG EV dilengkapi ciri keselamatan terbaik dan elemen prestasi menerusi pacuan roda belakang (RWD) motor elektrik tunggal, manakala varian XPower, ia mempunyai dwimotor dan pacuan semua roda (AWD).

Untuk model MG4 EV, ia ditawarkan menerusi empat varian iaitu Standard, Lux, Lux Extended Range dan XPower dengan jarak capaian sehingga 520 kilometer (km) yang dijual pada harga bermula RM103,999 hingga RM158,999.

MGZS EV pula ditawarkan pada harga RM125,999 dengan capaian jarak perjalanan sehingga 320 km.

Kesemua model menerima jaminan pengeluar selama tujuh tahun atau 150,000 km, dan lapan tahun atau 180,000 km untuk jaminan bateri.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Mac 2024 @ 2:23 PM