Isma Aliff
Isma Aliff
Norhayati Nordin


 

Kuala Lumpur: Tahap kesihatan pelakon dan penyanyi era 1980-an, Isma Aliff, 60, semakin membaik kira-kira 70 peratus selepas boleh makan dan minum sendiri, termasuk bertutur, manakala berjalan saja perlu guna tongkat berkaki empat.

Adiknya, Shamsidah Ismail, 58, berkata, abang sulungnya itu boleh disifatkan sudah mampu menguruskan diri sendiri secara sedikit-sedikit dan bersyukur ramai pihak terutama rakan-rakan rapat tampil membantu dari segi kewangan serta sokongan moral.

"Alhamdulillah, keadaan Along (panggilan Isma) semakin pulih kerana dia sudah boleh makan dan minum sendiri, termasuk bercakap juga. Kira-kira 70 peratus, boleh dikatakan Along sudah sihat.

"Cuma, kalau nak berjalan saja kakinya belum cukup kuat. Jadi, Along masih guna tongkat berkaki empat lagi kalau dia nak berjalan-jalan. Tapi, dari segi makan dan minum, Alhamdulillah, dia dah boleh buat sendiri,' katanya kepada Harian Metro.

Shamsidah yang juga seorang guru berkata, dia berharap Allah memberikan dirinya kesihatan yang baik untuk terus menguruskan penjagaan abang dan ibunya yang ditimpa ujian kesihatan ketika ini.

"Selain itu, saya juga berdoa kepada Allah agar Along dikurniakan jodoh baharu sebagai peneman hidupnya apabila sudah betul-betul sihat nanti untuk sama-sama kita sekeluarga saling menjaga.

'Bukanlah saya nak menyerahkan segala tanggungjawab kepada isteri baharu Along, tapi cukuplah jika dia (Isma) ada teman berborak di rumah, mendengar keluahan masalahnya yang selama ini dia simpan sendiri," katanya.

Ditanya juga mengenai hasrat pelakon filem Marah-Marah Sayang itu bertemu anak-anaknya pada Aidilfitri lalu, Shamsidah berkata, anak sulung Isma iaitu Nor Ismalina ada datang menziarah bersama suaminya pada hari raya pertama.

"Saya difahamkan, anak perempuan Along ada datang menziarahnya di rumah ibu saya pada hari raya pertama lalu, manakala anak lelakinya (Mohd Alif) belum berkesempatan lagi.

"Tapi, saya tahu Along gembira dapat berjumpa anak dan menantunya. Bagaimanapun, saya mohon pada semua agar bantu doakan Along kembali pulih seperti dulu, temasuk juga emak kami supaya sihat semula," katanya.

Terdahulu, Isma Alif atau nama sebenarnya, Muhammad Latiff Ismail pernah dimasukkan ke Hospital Ampang pada 15 Disember lalu, selepas dikesan mengalami jangkitan pada jantung dan paru-paru hingga ditidurkan akibat kritikal.

 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 April 2024 @ 6:19 PM