KANAK-KANAK Palestin memeriksa rumah yang dibom tentera Israel di Rafah pada 27 April 2024. FOTO Reuters
KANAK-KANAK Palestin memeriksa rumah yang dibom tentera Israel di Rafah pada 27 April 2024. FOTO Reuters
BERNAMA-SPA

Riyadh: Menteri Luar Arab Saudi Putera Faisal bin Farhan Al Saud mempengerusikan mesyuarat perundingan Jawatankuasa Enam Pihak Arab di sini pada Sabtu yang membincangkan perkembangan serangan Israel ke atas Semenanjung Gaza.

Mesyuarat itu dihadiri Timbalan Perdana Menteri Jordan yang juga Menteri Hal Ehwal Luar Negeri dan Ekspatriat Ayman Al-Safadi; Menteri Luar Mesir Sameh Shoukry; Setiausaha Agung Jawatankuasa Eksekutif Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) Hussein Al-Sheikh; Penasihat Diplomatik kepada Presiden Emiriah Arab Bersatu (UAE) Anwar bin Mohammed Gargash dan Menteri Luar Qatar Dr Mohammed bin Abdulaziz Al-Khulaifi.

Agensi berita Saudi (SPA) melaporkan menteri berkenaan menekankan keperluan menamatkan serangan ke atas Semenanjung Gaza dan mencapai satu gencatan senjata yang komprehensif dengan segera serta memastikan perlindungan kepada orang awam menurut undang-undang kemanusiaan antarabangsa.

Mereka juga menggesa supaya segala sekatan yang menghalang kemasukan bantuan kemanusiaan ke semenanjung itu ditarik balik. Tambahan pula mereka menzahirkan sokongan mereka ke atas segala usaha yang menyasarkan untuk mengiktiraf negara Palestin yang merdeka di peringkat antarabangsa selain mencapai aspirasi rakyat Palestin.

Mereka juga menekankan kepentingan langkah yang tidak boleh ditarik balik ke arah melaksanakan penyelesaian dua negara dan mengiktiraf negara Palestin dengan sempadan pada 4 Jun 1967 serta ibu negaranya Baitulmuqaddis Timur , menurut resolusi antarabangsa yang berkenaan.

Menteri-menteri berkenaan juga menekankan Semenanjung Gaza sebagai sebahagian daripada wilayah Palestin yang diduduki dan dengan tegas menolak sebarang percubaan untuk mengusir warga Palestin daripada tanah mereka atau sebarang operasi ketenteraan dalam Bandar Rafah, Palestin.

Mereka juga memberi amaran terhadap tindakan berterusan menyalahi undang-undang oleh Israel di wilayah diduduki di Tebing Barat dan Baitulmuqaddis Timur yang menggugat usaha penyelesaian dua negara.

Tindakan berkenaan termasuk meluaskan penempatan, merampas tanah, operasi ketenteraan terhadap warga Palestin, serangan peneroka dan mengehadkan kebebasan orang Islam dan Kristian untuk beribadat, kata mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 April 2024 @ 6:23 PM