KENDERAAN utiliti sukan elektrik (SUV) TESLA Malaysia serba baharu, Model Y. FOTO Bernama
KENDERAAN utiliti sukan elektrik (SUV) TESLA Malaysia serba baharu, Model Y. FOTO Bernama
Lizam Ridzuan


Kuala Lumpur: Buat pertama kalinya, pengeluar kenderaan elektrik (EV) Tesla melancarkan kenderaan utiliti sukan (SUV) paling larisnya, Model Y untuk pasaran Malaysia.

Pengarah Serantau Tesla, Isabel Fan berkata, ia ditawarkan menerusi tiga varian iaitu model Y Pacuan Roda Belakang pada harga RM199,000, Model Y Jarak Jauh Pacuan Semua Roda Dwi-Motor (RM246,000) dan Model Y Prestasi Tinggi Pacuan Semua Roda Dwi-Motor (RM288,000).

"Selari dengan usaha kerajaan ke arah pendekatan lebih proaktif, kami sudah memasang lapan unit Supercharger di pusat beli-belah Pavilion Kuala Lumpur dan bakal meluaskan kemudahan itu ke lebih banyak lokasi di seluruh negara.

"Lokasi tumpuan ialah di Johor dan Pulau Pinang yang membolehkan pengguna Tesla melakukan perjalanan dari Singapura, Malaysia dan Thailand tidak lama lagi," katanya pada majlis pelancaran di sini hari ini.

Berbeza mengikut varian Model Y, dengan sekali pengecasan ia mampu menjangkau sehingga 455 kilometer (km) untuk Model Y, 533 km (Model Y Jarak Jauh) dan 514km (Model Y Prestasi Tinggi) (WLTP) dengan kelajuan maksimum 217km/j ke 250km/j.

Model ini juga dilengkapi ruang kargo sehingga 2,100 liter dengan kapasiti muatan lima tempat duduk.

Ia juga adalah kenderaan dengan spesifikasi keselamatan terbaik yang diberi penarafan lima bintang daripada NHTSA dan Euro NCAP.

Sebagai sebahagian daripada komitmen Malaysia untuk menggalakkan penggunaan pengangkutan rendah karbon dan menyokong pembangunan industri EV, pelanggan boleh menikmati pelepasan duti import dan eksais bagi pendaftaran baru kenderaan elektrik zero-emission Tesla adalah import sepenuhnya (CBU) dan pemansuhan cukai jalan 100 peratus.

Pemilik Tesla juga boleh menuntut pelepasan cukai pendapatan sehingga RM2,500 bagi perbelanjaan berkaitan kos pemasangan, sewaan, pembelian termasuk sewa beli peralatan atau yuran langganan untuk pengecas EV, untuk tahun taksiran 2023. 

Model Y bakal diserahkan kepada pelanggan pada awal 2024.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Julai 2023 @ 3:34 PM