CHRISTOPHER (kanan) dan Hannes melancarkan Porsche Cayenne Baharu 2023 pemasangan tempatan. Foto Suhaila Khairie
CHRISTOPHER (kanan) dan Hannes melancarkan Porsche Cayenne Baharu 2023 pemasangan tempatan. Foto Suhaila Khairie
Oleh: Lizam Ridzuan


 

Kuala Lumpur: Porsche Malaysia menerusi Sime Darby Auto Performance (SDAP) melancarkan model Porsche Cayenne pemasangan tempatan baharu 2023.

  Ketua Pegawai Eksekutifnya, Christopher Hunter berkata sejak  kenderaan utiliti sukan (SUV) mewah itu diperkenalkan pada 2002 ia adalah kereta sport Porsche lima penumpang yang menjadi ikon tersendiri dan antara yang penting dalam portfolio jenama itu.

 "Model terbaharu ini membuat kemunculan global pada beberapa bulan lalu dan ia sudah pun berada dalam pasaran Malaysia yang membuktikan akan kepentingan pasaran ini di rantau Asean," katanya.

  Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Porsche Asia Pacific, Hannes Ruoff.

  Model ini dipasang di kilang pemasangan di Kulim, Kedah adalah satu-satunya lokasi di luar Eropah untuk jenama Porsche.

  Cayenne Baharu ini juga dengan ciri standard yang dipertingkatkan seperti Kawalan Jauh Adaptif, pintu jenis soft-close dan Sport Chrono Package.

  Ia juga dengan sistem casis yang dipertingkatkan untuk prestasi di atas jalan biasa dan off-road, lampu utama matrix LED dan Porsche Driver Experience baharu.

   Ciri lain dikekalkan dengan tempat duduk kawalan elektrik 14 tetapan dengan ciri memori, sulaman logo Porsche pada perehat kepala kerusi hadapan, kawalan pendingin hawa empat zon dan bidai

cermin belakang kawalan elektrik.

  Pakej peribadi juga diperkenalkan menerusi rim Cayenne Exclusive diumumkan dengan pilihan rim bersaiz 21 inci atau 22 inci dengan Sport Design, ia juga kini ditawarkan Porsche Tequipment seperti sistem hiburan tempat duduk belakang.

  Selain itu untuk peminat aktiviti lasak, terdapat banyak aksesori boleh dimiliki termasuklah khemah bumbung dan kotak bumbung berprestasi, rak meletak basikal dan banyak lagi.

  Model ini dikuasakan dengan enjin 3.0 liter V6 Turbo menjana kuasa 352 PS adalah lebih 13PS dan tork 500Nm iaitu pertambahan 50Nm berbanding model terdahulu.

  Untuk pasaran Malaysia ia dijual pada harga RM599,999 yang boleh ditempah menerusi platform digital.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Oktober 2023 @ 4:59 PM