Pengarah Urusan VCM, Charles Frump (kanan) dan Duta Sweden ke Malaysia, Joachim Berstrom pada pelancaran Volvo C40 Recharge Pure Electric. - FOTO NSTP
Pengarah Urusan VCM, Charles Frump (kanan) dan Duta Sweden ke Malaysia, Joachim Berstrom pada pelancaran Volvo C40 Recharge Pure Electric. - FOTO NSTP
Lizam Ridzuan


Kuala Lumpur: Volvo Car Malaysia (VCM) kini dalam perancangan ke arah menjadi syarikat kenderaan elektrik (EV) sepenuhnya menjelang 2030 selepas pengenalan model C40 Recharge Pure Electric.

Pengarah Urusannya, Charles Frump berkata, syarikat juga merancang untuk menyasarkan 75 peratus hasil jualan daripada model Recharge Pure Electric pada 2025 dan model itu mengukuhkan lagi kedudukan sebagai jenama kereta mewah elektrik di Malaysia.

"Selepas pelancaran model XC40 Recharge Pure Electric pada Mac lalu, ia mendapat sambutan yang memberangsangkan dan kami masih memenuhi penghantaran model ini kepada pelanggan sehingga tahun hadapan.

"C40 pula direka untuk pelanggan yang mahukan rekaan yang bergaya, kuasa elektrik dengan teknologi termaju," katanya ketika pelancaran model itu di sini semalam.

Ia juga adalah model EV pemasangan tempatan (CKD) kedua oleh Volvo di negara ini.

C40 Recharge Pure Electric adalah kenderaan utiliti sukan (SUV) menerusi trenkuasa dua motor elektrik menghasilkan 408 kuasa kuda (hp) dan tork 660Nm.

Kapasiti bateri Lithium Ion 78 kWh, mampu mencapai jarak perjalanan maksimum sejauh 450 kilometer (km) (WLTP) dengan satu pengecasan penuh.

Model ini hadir dengan lima pilihan warna seperti putih, hitam, perak, hijau dan biru yang ditawarkan pada harga RM288,888.

VCM turut menawarkan lima tahun Volvo On Call (bantuan jalanan), lima tahun Volvo Service Included (VSI) atau 100,000 km (mana-mana tiba dahulu), Empat tahun Digital Service dan Kabel Pengecas.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Disember 2022 @ 5:12 PM