MOHD Saiful maut dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 18.2 Lebuh Raya Utara Selatan (arah utara), semalam. FOTO Ihsan JKDM.
MOHD Saiful maut dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 18.2 Lebuh Raya Utara Selatan (arah utara), semalam. FOTO Ihsan JKDM.
Omar Ahmad


Kulai: Pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Johor maut dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan, di kilometer 18.2 Lebuh Raya Utara Selatan (arah utara) di sini, semalam.

Kejadian pada 11.40 pagi itu mengorbankan Mohd Saiful Adli Ibrahim, 35 tahun yang menunggang motosikal jenis Yamaha dengan sebuah kereta Honda Civic dan kereta Toyota.

Ketua Polis daerah Kulai, Superintendan Tan Seng Lee berkata, dalam kejadian itu mangsa maut di lokasi kejadian selepas tercampak di kiri jalan, selepas gagal mengelak kereta di hadapannya yang bergerak perlahan akibat kesesakan jalan raya.

"Siasatan awal pihak polis mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila pemandu Honda Civic, lelaki tempatan berusia 57 tahun yang memandu dari arah Johor Bahru ke Utara berhenti disebabkan keadaan jalan yang sesak.

"Pemandu kereta Toyota wanita berusia 24 tahun datang dari arah sama turut memperlahankan kenderaan bersedia untuk berhenti.

"Namun mangsa yang datang dari arah sama tidak sempat mengelak lalu melanggar bahagian kiri kereta Toyota, menyebabkan mangsa tercampak ke kiri jalan dan motosikal mangsa tercampak di atas bumbung kereta Honda Civic terbabit," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Tan berkata, mangsa mengalami kecederaan parah di pelbagai bahagian badan.

"Mayat mangsa dibawa ke unit forensik Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim, di sini untuk bedah siasat," katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Dalam pada itu, bapa mangsa, Ibrahim Omar, 64, berkata, kali terakhir dia bertemu arwah adalah ketika pulang bercuti di rumahnya di Taman Setiwangsa, Kluang selama lima hari sempena Aidilfitri baru-baru ini.

"Arwah menyifatkan sambutan Aidilfitri kali ini tawar dan hambar, mungkin kerana masih terasa dengan pemergian ibunya dua tahun lalu.

"Arwah juga tidak banyak berbual. Arwah sudah berkhidmat dengan JKDM selama kira-kira lapan tahun dengan kali terakhir bertugas di Johor Bahru," katanya.

Jenazah Mohd Saiful Adli selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Melayu, Kluang pada jam 9 pagi hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 April 2024 @ 7:34 PM