PESERTA dari serata Malaysia berkonvoi ke Pulau Pinang bagi menyertai  Program MBG (Motoburuk Garage) Vespa Lambretta Jamboree.
PESERTA dari serata Malaysia berkonvoi ke Pulau Pinang bagi menyertai Program MBG (Motoburuk Garage) Vespa Lambretta Jamboree.
Nurul Husna Mahmud


PROGRAM MBG (Motoburuk Garage) Vespa Lambretta Jamboree berlangsung di Padang Kota, Georgetown, Pulau Pinang baru-baru ini, mengumpul kira-kira 5,000 peminat skuter dari seluruh Malaysia.

Acara ini secara tidak langsung dilihat sebagai platform untuk individu pelbagai latar belakang peminat model klasik dan vintaj sehinggalah kepada penunggang generasi baharu berkumpul serta bertukar pandangan.

Penganjur yang juga pengasas program MBG Vespa Lambretta Jamboree, Nur Rafiqah Abdul Talib, 33, berkata, acara kali ini disifatkan paling besar pernah dianjurkan pihaknya malah ia meraih perhatian penunggang dari Singapura dan Thailand.

"Sejarah MBG Vespa Lambretta Jamboree sebenarnya atas inisiatif saya dan suami, Mohamad Aidzam Saffuan yang berusia 30 tahun dan pemilik bengkel membaiki skuter klasik model Vespa serta Lambretta di Bukit Mertajam.

"Kami gemar berkonvoi dan menyertai acara skuter klasik terutama model Lambretta dan Vespa.

"Kami sudah sampai tahap menghadiri program motosikal klasik di luar negara seperti Thailand dan Indonesia. Hasil pemerhatian dan pengalaman kami diterjemahkan dalam penganjuran program pertama dianjurkan pada 2017 di Taiping, Perak membabitkan kenalan konvoi dengan bajet sendiri.

"Ini tahun kelima acara ini dianjurkan malah kami juga menerima penajaan termasuk daripada Tourism Malaysia dan syarikat berkaitan permotoran," katanya.

Pasangan suami isteri itu terus komited menganjurkan program MBG Vespa Lambretta Jamboree saban tahun untuk memberi peluang kepada anak tempatan menunjukkan hasil terbaik membabitkan modifikasi skuter keluaran Itali itu.

"Kami kerap hadir ke temasya motosikal klasik di Indonesia, terutamanya, kami dapat lihat sisi menarik bagaimana penganjur di sana berusaha mengangkat atau menghargai bakat atau karya anak muda tempatan.

"Seperti acara permotoran di Jogjakarta, peminat di sana lebih radikal dan hasil tangan anak tempatan lebih mengagumkan. Bayangkan di sana, modifikasi motosikal klasik seperti Vespa dipanggil 'Vespa Extreme' dengan enjin 300cc serta memiliki sehingga 16 tayar.

"Kami harap, menerusi acara ini, ia dapat mencetuskan keterujaan pemilik atau mekanik tempatan dalam inovasi dan kreativiti modifikasi jentera dua roda ini," katanya.

Tahun ini, lebih meriah apabila acara itu tampil dengan tema 'Mods & Rocker' selain penajaan hadiah lebih menarik penganjur untuk pemenang 12 kategori dipertandingkan.

"Selain itu, pelbagai versi dan generasi model skuter import termasuk 'Best Original Featuring' yang jarang-jarang dapat dilihat juga ada pada acara ini.

"Model ini mengekalkan semua bahagian yang asli seperti kali pertama ia keluar daripada kilang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Disember 2022 @ 6:55 AM