KEKAL asli.
KEKAL asli.
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


Bercakap mengenai skuter pasti kebanyakan orang menyebut nama Vespa sebagai jentera dua roda yang paling terkenal di seluruh dunia.

Jentera buatan negara ‘piza’ iaitu Itali, sememangnya menerima sambutan luar biasa, namun satu lagi jenama skuter yang turut popular ialah Lambretta.

Sejarah awal terbinanya Lambretta pada 1922 dicipta oleh Ferdinando Innocenti dan nama motosikal itu diambil daripada sebuah daerah di pinggiran kota Milan.

Ruangan Modifikasi kali ini memilih Lambretta buatan 1967 milik Ahmad Hazwan Ilyas, 28, di mana jentera yang tersadai dan hanya dijadikan tempat meletak baja sebelum ini, dibaiki semula seperti baharu sehingga pernah ditawar RM50,000 oleh seorang peminatnya.

Jentera dibeli dengan harga rendah pada asalnya, sudah kehilangan banyak komponen asal seperti karburator dan logo, selain enjin tidak berfungsi.

Namun selepas melabur lebih RM8,000 jentera itu tampil dengan imej unik dan kelihatan seperti baharu dihasilkan dari kilang.

Bagi mencari dan menggantikan komponen baru, pemiliknya menempuh perjalanan lebih 200 kilometer ke Thailand untuk mendapatkan aksesori yang sukar diperoleh di negara ini.

Jika ada sekali pun, aksesori yang dikehendaki pasti mengambil masa lama untuk proses memujuk pemilik asal dan kadangkala harga ditawarkan tidak masuk akal.

Antara komponen dan aksesori sukar diperoleh ialah ‘mudguard’ dari jenama Vagino dibeli dengan harga RM1,000 dari negara jiran.

Bahagian enjin pula, jentera itu masih mengekalkan enjin asal bersesaran 150cc yang dibaik pulih di bengkel Lanvespa Manjung, Perak.

Pelbagai komponen dalaman enjin terpaksa digantikan akibat karat, selain permukaan luaran rangkaian kuasa itu disaluti krom supaya tampak menarik.

Kini, Ahmad Hazwan berbangga selepas menyiapkan motosikal berkenaan yang mengambil masa hampir dua tahun.

Malah, pemilik yang juga ahli Pakatan Vespa Utara tidak akan menjualnya berikutan jentera itu sukar ditemui dan yakin harganya mampu melonjak lebih tinggi pada masa akan datang.

SPESIFIKASI:

Enjin:

- Asal yang disaluti krom

Ubah Suai:

- Ekzos ubah suai

- Tempat duduk asal

- Logo asal

- Pelindung tayar Vigano

Kos Modifikasi:

- RM8,000

Bengkel:

- Lanvespa Manjung

Kelab:

- Pakata Vespa Utara

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Mei 2016 @ 5:11 AM