ANTARA Lambretta kesayangan Ramli.
ANTARA Lambretta kesayangan Ramli.
HM Digital

RAMLI Md Tahir, 70, bukan saja gemar mengumpul skuter klasik Lambretta buatan Itali malah dia sudah menjual 62 daripada 68 jentera vintaj berkenaan.

Walaupun ada kalanya dikecam seperti mengumpul barang usang selain besi buruk, Ramli tetap teguh dengan hobi serta minatnya itu.

Istimewanya, Ramli bukan sekadar mengumpul malah dia mampu membaiki serta menyelenggara skuter berkenaan.

"Dua daripada skuter itu dijual kepada pembeli dari Amerika Syarikat manakala 60 lagi dibeli pembeli dari Thailand serta penggiat Lambretta tempatan.

"Enam unit lagi masih saya simpan dan tidak akan dijual walaupun ditawarkan pada harga tinggi," katanya.

Menurut Ramli, bermulanya pada 1980-an, era skuter Lambretta mula pudar apabila pengguna ketika itu lebih memilih untuk memiliki Vespa dan banyak skuter Lambretta terbiar begitu sahaja.

"Sejak itu, saya mula membeli skuter Lambretta malah ada yang dibeli pada harga serendah RM20. Ada juga pemilik yang memberinya secara percuma kepada sesiapa yang berminat.

"Secara keseluruhan, saya membeli 68 Lambretta sebelum ia dibaik pulih serta diselenggara," katanya yang menetap di Kampung Bukit Lintang, Melaka.

RAMLI (kanan) bersama rakan pemilik Lambretta di Melaka.
RAMLI (kanan) bersama rakan pemilik Lambretta di Melaka.

Kemahiran Ramli, termasuk mengecat semula Lambretta, meletakkan namanya sebaris pakar skuter berkenaan malah dia cukup dikenali penggiat skuter berkenaan, termasuk dari luar negara.

Katanya, dia pernah ditawarkan RM30,000 untuk sebuah daripada enam Lambretta yang masih disimpan, namun enggan berpisah dengan jentera berkenaan.

"Lambretta yang ditawarkan pada harga RM30,000 itu saya beli pada harga RM50 kira-kira 30 tahun lalu.

"Walaupun saya membelinya pada harga rendah, namun ia terbiar dan memerlukan kos tinggi untuk dibaik pulih sehingga boleh digunakan," katanya.

Ramli yang juga pengerusi Kelab Lambretta Negeri Melaka berkata, setakat ini, persatuan berkenaan aktif menyertai pelbagai aktiviti termasuk pameran dan konvoi di seluruh negara.

Dengan 21 ahli ketika ini berbanding lebih 50 sebelum ini, persatuan berkenaan terus mendapat jemputan untuk menghadiri majlis rasmi termasuk pada sambutan Hari Malaysia di Melaka.

Malah persatuan itu sering menyertai perarakan sambutan Hari Kebangsaan selain skuter milik ahli menjadi tumpuan orang ramai bergambar kenangan.

"Harga alat ganti skuter ini juga semakin mahal malah ia perlu diimport dari Itali atau India. Kerana itu, kami berusaha untuk menjaga Lambretta masing-masing sebaik mungkin.

"Kami juga berusaha menjaga ciri-ciri asli skuter ini," katanya yang turut mencurahkan ilmu baik pulih skuter berkenaan kepada tiga anak lelakinya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Oktober 2022 @ 6:49 AM